Utama Kenderaan Sejarah- Bagaimana Koleksi Terbesar Bugatti Kembali Ke Perancis

Sejarah- Bagaimana Koleksi Terbesar Bugatti Kembali Ke Perancis

71
Fritz Schlumpf-Koleksi Bugatti

Sejarah- Bagaimana Koleksi Bugatti Terbesar Kembali Ke Perancis

Sekitar 60 tahun yang lalu, Fritz Schlumpf membeli 30 buah kereta Bugatti setelah melakukan rundingan yang sukar.

Secebis kisah.

Fritz Schlumpf begitu meminati Bugatti. Beliau berasa perlu untuk memiliki sekurang-kurangnya 30 buah kereta Bugatti secepat yang mungkin. Ini kerana beliau ingin menggunakan kereta-kereta ini sebagai asas untuk mewujudkan koleksi Bugatti terbesar yang ada. Obsesi beliau terhadap Bugatti jelas ternyata, seperti yang terlihat dalam perundingan dengan pemilik Bugatti Amerika yang berlangsung selama lebih kurang dua tahun.

Bugatti dan Schlumpf adalah dua nama yang telah lama berhubungan. Fritz Schlumpf membeli kereta Bugatti pertamanya pada usia 22 tahun pada tahun 1928 dan memandunya pada hujung minggu dan juga dalam perlumbaan kereta. Peminat kereta ini tetap berhubungan dengan syarikat Bugatti yang berpangkalan di Alsace selama bertahun-tahun mendatang, walaupun minatnya untuk mengumpul kereta tidak berkembang sehinggalah tahun 1961.

Schlumpf pada mulanya bekerja sebagai broker bulu dan pada tahun 1929 abangnya, Hans(dua tahun lebih tua) menyertai syarikat tekstil itu. Pada tahun 1935, mereka mengasaskan syarikat Société Anonyme pour l’Industrie Lainière (SAIL), sebuah syarikat terhad yang mengusahakan perniagaan bulu.

Selepas perang dunia berakhir, dua bersaudara ini membeli beberapa kilang dan kilang pemintalan di Alsace sehingga mereka hampir sepenuhnya menguasai industri tekstil di timur Perancis. Pada tahun 1957, mereka memperoleh kilang bulu yang tidak digunakan di Mulhouse, Alsace, untuk membina muzium kenderaan mereka sendiri sebagai penghormatan untuk ibu tercinta dan Ettore Bugatti. Tetapi yang terutamanya untuk Fritz Schlumpf sendiri kerana mengumpul kereta Bugatti telah lama menjadi obsesinya. Dari tahun 1961 dan seterusnya, dia memperoleh banyak kenderaan klasik dan akhirnya menjadi pemungut Bugatti terkemuka.

Schlumpf Menghubungi Pemilik Bugatti Di Seluruh Dunia

Untuk mencapai hasratnya ini, Schlumpf menulis surat kepada pemilik Bugatti di seluruh dunia pada awal tahun 1960-an. Dia memperoleh alamat dari daftar yang disimpan oleh Hugh Conway dari kelab pemilik kereta Bugatti British(British Bugatti Owners Club). Dari sini dia berhubung dengan pemungut kereta Bugatti Amerika bernama John W. Shakespeare, yang menetap di Hoffman, Illinois, Amerika pada tahun 1962.

Shakespeare telah mengabdikan dirinya dengan mengumpul kereta Bugatti sejak tahun 1950-an. Kereta pertamanya ialah Bugatti Type 55 tahun 1932, diikuti oleh Type 41 Royale Park Ward(kereta pelanggan ketiga dan terakhir), 12 buah Type 57, 3 buah Type 55, dan kereta elektrik peribadi Ettore Bugatti Type 56 sejak tahun 1931. Secara keseluruhan, Shakespeare memiliki koleksi Bugatti terbesar di dunia, merangkumi sekitar 30 buah kereta.

Schlumpf perlu mendapatkan kesemua kereta ini. Beliau membuat tawaran kepada Shakespeare sebanyak 70 Ribu USD. Tetapi nilai tuntutan terakhir yang dipinta ialah 105 ribu USD. Schlumpf mempunyai koleksi yang dinilai oleh peneliti Bugatti bernama Bob Shaw dari Illinois pada tahun 1963. Shaw membuat satu kesimpulan yang tidak menarik: “Sebilangan besar kereta disimpan di bahagian bangunan dengan lantai kotor, tingkap pecah, bumbung bocor dan burung bersarang. Setiap kereta dalam keadaan rosak dan tidak ada satu pun kereta yang beroperasi sekurang-kurangnya selama 18 bulan. ”

Shaw menasihatkan agar tidak melakukan pembelian tetapi Schlumpf telah komited sepenuhnya pada masa ini dan menawarkan Shakespeare dengan harga 80 ribu USD untuk keseluruhan koleksi. Setelah rundingan yang sukar, ancaman dan pemerasan, Schlumpf dan Shakespeare akhirnya bersetuju dengan harga pembelian 85 ribu USD pada tahun berikutnya (setara dengan harga kira-kira 720 ribu USD hari ini) – termasuk pengangkutan ke Perancis.

30 Buah Bugatti Dalam Satu Kereta Api

Pada 30 Mac 1964, 30 buah kereta Bugatti meninggalkan Illinois dengan kereta api syarikat Southern Railway menuju ke New Orleans di mana kereta-kereta ini akan dimuatkan ke dalam kapal kargo Belanda. Foto dalam artikel ini menunjukkan kereta api muatan terbuka dengan sebilangan besar kereta yang jarang dilihat.

Beberapa minggu kemudian, kapal barang itu sampai di pelabuhan Le Havre di Perancis, di mana Fritz Schlumpf akhirnya menerima harta karunnya. Dia kini semakin hampir mencapai matlamatnya untuk menjadi pengumpul Bugatti terbesar di dunia. Tidak sampai tahun 1965, Schlumpf bersaudara menghebahkan koleksi mereka dalam siaran akhbar pendek, dan idea tentang muzium ini pun lahir. Tetapi Fritz Schlumpf tidak pernah membukanya secara rasmi.

Schlumpf bersaudara tidak mempunyai banyak peluang untuk menikmati koleksi kereta mereka yang unik ini. Keseronokan mereka dalam koleksi kereta yang hebat ini hanya dapat bertahan beberapa tahun sahaja. Ini kerana mogok berskala besar telah berlaku setelah mereka terlibat dalam amalan perniagaan yang tidak telus, dan kejatuhan industri tekstil Perancis pada tahun 1970-an menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Switzerland. Kisah ini telah tenggelam dalam lipatan sejarah automotif.

Yang tinggal hanyalah kenderaan eksklusif, yang dipamerkan dalam pameran luar biasa dan unik. Koleksi Schlumpf kini terletak di Muzium Nasional “Cité de l’Automobile” di Mulhouse di tengah-tengah wilayah Alsace, Perancis yang merupakan pusat pameran automobil terbesar di dunia.

Meliputi kawasan seluas lebih dari 25ribu meter persegi, pameran ini merangkumi 400 buah kereta yang jarang-jarang dilihat, paling hebat dan paling berharga di dunia. Ini termasuk sekitar 100 buah model Bugatti, di antaranya ialah 2 dari hanya 6 buah unit model Type 41 Royale yang pernah dibina.  Salah satu dari model Type 41 Royale ini ialah dari bekas pemiliknya Shakespeare. Model lain dari koleksi 30 buah kereta ini boleh didapati dalam keadaan asal yang tidak dipulihkan di Muzium Automotif Mullin (Mullin Automotive Museum )di Oxnard California, Amerika.

Apa Komen Anda?