Utama Fesyen Senarai 5 Pasang Kaca Mata Termahal Di Dunia

Senarai 5 Pasang Kaca Mata Termahal Di Dunia

102
Senarai 5 Buah Kaca Mata Termahal Di Dunia

Senarai 5 Pasang Kaca Mata Termahal Di Dunia

Penggunaan kaca mata memang tidak asing bagi kebanyakan orang di dunia ini. Ia berperanan penting sebagai pelindung kepada mata kita dari pancaran sinaran matahari dan juga habuk.  Selain itu, penggunaan kaca mata juga dapat membantu mengatasi masalah rabun mata. Ada juga orang yang menggunakan kaca mata tidak lebih dari sekadar fesyen.

Harga sepasang kaca mata bermula dari puluhan ke ribuan ringgit, bergantung kepada material dan spesifikasinya. Lagi bagus material yang digunakan, lagi mahal lah harga kaca mata itu. Hari ini kami nak kongsikan kepada anda Senarai 5 Pasang Kaca Mata Termahal Di Dunia. Jom tengok.

5. CliC Gold 18K Gold Sports (75 Ribu USD)

Syarikat CliC Gold yang berpengalaman lebih dari 3 dekad telah bekerjasama dengan pereka barang kemas, Hugh Power bagi menghasilkan kaca mata ini. Keseluruhan bingkai kaca mata ini adalah dari emas 18 Karat. Lensanya pula mempunyai lapisan anti-reflektif (anti pantul) dari Carl Zeiss Super ET Anti-Reflective.

4. Cartier Panthere (159 Ribu USD)

Cartier merupakan syarikat barangan mewah terkenal dari Perancis, yang diasaskan pada tahun 1847. Produk-produk keluaran mereka seperti barangan kemas dan jam mendapat sambutan dan digunakan bukan sahaja oleh selebriti, malah orang-orang kenamaan dan juga golongan diraja di seluruh dunia turut menjadi pelanggan mereka. Kaca mata keluaran Cartier yang diberi nama Panthere ini disemat dengan 645 butiran nilam dan 561 butian belian pada kerangkanya. Kerangkanya ini dibuat daripada emas putih 18 Karat. Untuk lensanya pula, pembeli boleh membuat tempahan untuk menggunakan lensa biasa ataupun lensa kalis sinaran matahari.

3. Shiels Jewellers Emerald (200 Ribu USD)

Shiels Jewellers ialah syarikat barang kemas terkenal dari Australia yang diasaskan pada tahun 1945 oleh Jack Shiels. Salah satu barangan keluaran mereka yang terkenal ialah kaca mata Emerald ini. Pembuatan kaca mata ini ialah inspirasi serta ilham dari penggunaan kaca mata zamrud oleh maharaja Rom bernama Nero. Nero menggunakan kaca mata dari batu zamrud untuk melindungi matanya dari sinaran cahaya matahari, ketika beliau menyaksikan perlawanan Gladiator. Syarikat Shiels Jewellers mengambil masa selama 5 tahun untuk menyiapkan kaca mata ini, dari proses mencari, memotong, membentuk, menggilap, dan memasukkan batu zamrud hijau ini ke dalam lensa. Kerangkanya pula dibuat dari emas dan disemat dengan butiran berlian.

2. Dolce & Gabbana DG2027B (383 Ribu USD)

Anda tentu pernah mendengar nama syarikat Dolce & Gabbana ini. Mereka merupakan salah satu jenama fesyen mewah yang terkenal di dunia. Syarikat fesyen dari Itali ini diasaskan pada tahun 1985 oleh dua orang pereka fesyen bernama Domenico Dolce dan Stefano Gabbana. Banyak selebriti terkenal memilih produk keluaran mereka ini. Untuk model kaca mata bernama DG2027B ini, syarikat Dolce & Gabbana menggunakan warna perang untuk lensanya. Bingkai lensanya pula diperbuat daripada emas. Manakala tangkai kaca matanya ditulis dengan jenama mereka yang disemat dengan butiran berlian.

1. Chopard De Rigo Vision (400 Ribu USD)

Kaca mata bernama Chopard De Rigo Vision ini ialah rekaan dari syarikat barangan mewah dari negara Switzerland, Chopard. Mereka bekerjasama dengan syarikat De Rigo Vision bagi menghasilkan kaca mata mewah ini. Material yang digunakan untuk pembuatan kerangka ini ialah 60 gram emas 24 Karat. Bahagian sisi bingkai pula ditulis dengan huruf  “C”, sempena nama syarikat mereka. Bahagian keliling logo ini dan juga bahagian depan bingkai pula disemat dengan 51 butiran berlian.

Apa Komen Anda?