Senarai Telefon Pintar iPhone Yang Termahal di Dunia

Senarai Telefon Pintar iPhone Yang Termahal di Dunia

 

Anda tentu pernah mendengar tentang telefon pintar iPhone keluaran Apple kan? Rata-rata orang tahu tentang kewujudan model-model hebat ini namun tahukah anda yang harganya boleh mencecah jutaan ringgit? Terkejut bukan? Selalunya harga model-model iPhone di pasaran hanya mencecah ribuan ringgit. Apa yang membuatkan ianya mahal?

Sebenarnya model-model iPhone terpilih ini telah pun diubah-suai oleh pereka terkenal seperti Stuart Hughes dan Peter Aloisson. Mereka telah memasukkan emas dan berlian untuk hiasan pada telefon pintar ini. Stuart Hughes memang sudah terkenal dengan rekaan mewahnya. Beliau juga terlibat dalam projek kapal History Supreme, iaitu kapal yang termahal di dunia. Anda boleh membaca artikel yang kami tulis sebelum ini, Senarai 10 Buah Kapal Layar Termahal di Dunia.

Di bawah ini kami menyenaraikan harga-harga telefon pintar iPhone yang termahal di dunia. Bermula dari iPhone 3 hingga ke iPhone 6. Jom kita baca 🙂

Kings Button iPhone 3G (2.4 Juta USD)

Sebanyak 138 kepingan halus berlian dipotong kemas dan disaluti di atas garisan emas putih di sisi telefon pintar ini. Butang utama (Home Button) pula diperbuat daripada berlian 6.6 Karat.

Model: iPhone 3G

Pereka: Peter Aloisson.

Material: Emas 18 Karat (kuning,putih,ros) dan berlian 6.6 Karat.

Info tambahan: Emas berwarna ros adalah campuran 4% perak, 75% emas, dan 21% tembaga untuk penghasilan emas ros 18 karat. Anda boleh mendapatkan maklumatnya di sini.

Goldstriker iPhone 3GS Supreme (3.2 Juta USD)

Goldstriker iPhone 3GS SupremeBadan telefon pintar ini diperbuat daripada 271 gram emas 22 Karat dan butang utamanya disaluti oleh berlian 7.1 Karat jenis jarang dijumpai. Bahagian sisi pada permukaan depan telefon ini pula disaluti oleh 136 butir potongan berlian dan logo di bahagian belakang diperbuat daripada emas bertatahkan dengan 53 butiran berlian.

Telefon ini mengambil masa selama 10 bulan untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada pembelinya, seorang ahli perniagaan dari Australia.

Model: iPhone 3GS

Pereka: Stuart Hughes & Goldstiker

Material: Emas 22 Karat dan berlian 7.1 Karat.

iPhone 4 Diamond Rose Edition (8 Juta USD)

Kerangkanya diperbuat daripada emas ros dan bahagian sisinya disaluti oleh 500 kepingan berlian 100 Karat. Butang navigasinya diperbuat daripada emas putih dan disaluti dengan berlian putih 8 Karat dan diletakkan sebutir berlian merah jambu 7.4 Karat pada bahagian tengah butang navigasi. Berlian merah jambu ini boleh ditukar dengan sebutir berlian 8 Karat jenis jarang dijumpai yang didatangkan sekali dalam edisi ini. Logo Apple pada bahagian belakang telefon ini pula diperbuat daripada emas ros dan disaluti dengan 53 kepingan berlian.

Telefon ini juga didatangkan dengan kotak istimewa yang diperbuat daripada potongan seketul batu granit berwarna merah jambu (Imperial Pink). Hanya dua buah unit telefon sahaja dari edisi khas ini yang terdapat di dunia.

Model: iPhone 4

Pereka: Stuart Hughes

Material: Emas ros, berlian 100 Karat, berlian merah jambu 7.4 karat, dan berlian 8 Karat jenis jarang dijumpai.

iPhone 4S Elite Gold (9 Juta USD)

Bahagian sisinya dihiasi dengan 500 kepingan berlian 100 karat. Kerangka belakangnya pula diperbuat daripada emas 24 Karat. Logo Apple pada bahagian belakang dihasilkan dengan menggunakan emas 24 Karat dan disaluti dengan 53 kepingan berlian.  Butang navigasinya juga diperbuat daripada emas dan disaluti dengan berlian 8.6 Karat. Sebutir berlian merah jambu 8.6 Karat telah tersedia jika pemiliknya mahu menukarkan berlian sedia ada pada butang navigasi.

Kotak untuk menyimpan telefon pintar ini juga direka menggunakan bahan-bahan mewah dan jarang dijumpai. Kotaknya diperbuat daripada emas putih dan dihiasi dengan tulang dinosaur T-Rex serta batuan jarang dijumpai seperti Opal ,Pietersite, Charoite , Rutile Quartz , dan Star Sunstone. Terdapat dua buah unit sahaja dari edisi ini di dalam dunia.

Model: iPhone 4S

Pereka: Stuart Hughes

Material: Emas 24 Karat, berlian 100 Karat, berlian 8.6 Karat, dan berlian merah jambu 8.6 Karat.

iPhone 5 Black Diamond (15 Juta USD)

Dikhabarkan seorang ahli perniagaan cina yang memiliki berlian hitam telah menghubungi Stuart Hughes untuk pengubahsuaian telefon pintar iPhone 5 miliknya. Stuart mengambil masa selama 9 minggu untuk melengkapkan ubahsuai telefon pintar ini sebelum diserahkan kepada pemiliknya.

Kerangka belakang telefon pintar ini diperbuat daripada emas 24 Karat. Bahagian sisinya pula dihiasi dengan 600 kepingan berlian. Logonya juga dihasilkan daripada emas dan dihiasi dengan 53 kepingan berlian. Untuk butang utama telefon ini, Stuart telah memasukkan berlian hitam 26 Karat. Skrin asal telefon pintar ini juga telah digantikan dengan skrin jenis Sapphire Glass untuk menambahkan kelainan dan keunikan telefon ini.

Model: iPhone 5

Pereka: Stuart Hughes

Material: Emas 24 Karat, berlian, dan berlian hitam 26 Karat.

Info Tambahan:

Untuk model iPhone 6, setakat ini belum ada maklumat terbaru dan terkini tentang rekaan daripada Stuart Hughes. Yang diketahui hanya pereka seperti Goldgenie dan Falcon Luxury menunjukkan minat dalam pengubahsuaian iPhone 6.

Goldgenie seperti yang diketahui merupakan syarikat dari England yang mahir di dalam rekaan barangan kemas mewah emas,platinum,berlian dan batu permata. Para pelanggannya juga merupakan orang-orang terkenal seperti Usain Bolt, David Beckham, dan P Diddy.

Diamond Ecstasy  iPhone 6 yang berharga 3.5 Juta USD merupakan rekaan terkini dari Goldgenie. Terdapat tiga pilihan untuk pelanggannya iaitu rekaan dari emas kuning, putih dan juga ros. Logo Apple pada bahagian belakang pula disaluti dengan kepingan-kepingan berlian.  Pelanggan juga diberi pilihan untuk menggantikan berlian sedia ada dengan batu permata yang lain seperti zamrud, nilam, delima, berlian hitam atau berlian merah jambu.

 

Bagi pihak Falcon Luxury pula, mereka membuka pra tempahan untuk para pelanggan menikmati rekaan eksklusif mereka. Rekaan eksklusif ini terbahagi kepada dua koleksi iaitu Bespoke dan Supernova. Dari dua koleksi ini terbahagi pula kepada 21 versi rekaan yang boleh dipilih oleh para pelanggan. Versi yang paling murah boleh didapati pada harga 1.65 Juta USD dari koleksi Bespoke. Untuk harga ini, pelanggan boleh memiliki iPhone 6 emas ros(Rose Gold) berserta dengan potongan berlian hitam pada bahagian belakang telefon.

Versi dari koleksi Supernova pula lebih mahal harganya berbanding dengan versi-versi dari koleksi Bespoke. Versi termurah dari koleksi Supernova bermula pada harga 32.5 Juta USD. Versi-versi dari koleksi Supernova didatangkan dengan tiga jenis emas pilihan iaitu emas kuning 24 Karat, emas putih dan emas ros. Untuk harga 32.5 Juta USD, pelanggan akan mendapat iPhone 6 bertatahkan batu berlian biru pada bahagian belakang telefon. iPhone 6 dengan berlian jingga pula boleh didapati pada harga 42.5 Juta USD.

Versi termahal bagi koleksi Supernova ini iaitu SuperNova iPhone 6 Pink Diamond boleh didapati pada harga 48.5 Juta USD. Bahagian belakang telefon ini bertatahkan berlian merah jambu sesuai dengan namanya, Pink Diamond. Untuk keserasian dengan telefon ini, pelanggan juga boleh memilih fon telinga(earphones) yang diperbuat daripada emas 24 Karat berharga 300 Ribu USD.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen