Senarai 10 Buah Kamera Digital Yang Mahal Untuk Dimiliki

Senarai 10 Buah Kamera Digital Yang Mahal Untuk Dimiliki

 

Kamera pertama kali diperkenalkan oleh seorang ahli fizik Arab, Ibn al-Haytham. Beliau menerbitkan sebuah buku tentang optik iaitu Book of Optics pada tahun 1021 Masihi.

Memiliki sebuah kamera bukanlah sesuatu yang asing lagi pada zaman yang serba moden ini.  Segala aktiviti seperti melancung, majlis keramaian dan sebagainya tidak lengkap tanpa lensa kamera. Telefon pintar pada masa kini yang dilengkapi dengan kamera digital memudahkan pemiliknya untuk bergambar. Bagaimanapun, kamera digital yang didatangkan sekali pada telefon pintar bukanlah yang terbaik dari segi kualitinya berbanding dengan sebuah kamera digital biasa(stand-alone).

Harga sesebuah kamera digital di pasaran bergantung kepada kualiti dan spesifikasinya. Harganya bermula dari ratusan hingga ke ribuan ringgit dan mampu dimiliki oleh kebanyakan orang. Namun begitu, ada juga kamera digital yang harganya begitu mahal dan hanya mampu dimiliki oleh sesetengah orang sahaja seperti golongan elit, profesional ataupun orang berada.

Di bawah ini kami sediakan untuk anda Senarai 10 Buah Kamera Digital Yang Mahal Untuk Dimiliki. Harga kamera-kamera digital ini memang mahal setanding dengan harga sebuah kereta!

P/s Kami hanya membuat senarai ringkas kamera digital yang diambil secara rawak. Terdapat banyak lagi kamera digital di luar sana yang harganya memang mahal untuk dimiliki. Selamat membaca 🙂

 

  1. Olympus Pen Art Edition by Suzko (25 Ribu USD)

Syarikat kamera Olympus  dan syarikat dari Britain, Harrods telah bekerjasama dengan Suzko (urban artist) dan jurugambar fesyen, Jay McLaughlin bagi melahirkan kamera digital edisi terhad ini. Kamera digital eksklusif untuk Harrods ini didatangkan sekali dengan sebuah motosikal Vespa dan juga topi keledar. Corak lukisan pada kamera digital, motosikal dan topi keledar ini dihasilkan menggunakan tangan oleh artis Suzko.

 

  1. Leica M9 Titanium (26,500 USD)

Senarai 10 Buah Kamera Digital Yang Mahal Untuk Dimiliki

Pengeluar kamera terkenal dari Jerman, Leica telah menghasilkan model edisi terhad ini menerusi model asalnya Leica M9. Model kamera digital ini direka menerusi kerjasama Leica dan ketua pereka dari syarikat kereta terkenal Volkswagen, Walter de’Silva. Apa yang membuatkan model ini berbeza daripada model asal ialah ianya telah dibuat menggunakan logam dari jenis Titanium. Lensa kamera digital ini juga dihasilkan menggunakan logam Titanium, tidak seperti model asalnya yang dibuat daripada Aluminium. Model kamera digital ini hanya dicipta sebanyak 500 buah unit untuk dijual di seluruh dunia dan ditawarkan bersama lensa LEICA SUMMILUX-M 35mm f/1.4 ASPH.

 

  1. Hasselblad H4D – 40 Ferrari Edition (29,500 USD)

Hasselblad H4D – 40 Ferrari Edition

Syarikat Hasselblad dari Sweden memang sudah dikenali sebagai salah satu pengeluar kamera yang mahal dan terbaik di dunia. Syarikat ini telah bekerjasama dengan pengeluar kereta lumba dan mewah terkenal, Ferrari bagi menghasilkan kamera digital edisi terhad ini. Kamera digital ini diwarnakan dengan warna rasmi Ferrari iaitu warna merah jenis “rosso fuoco”. Kamera digital 40 megapiksel ini didatangkan bersama dengan lensa bersaiz 80mm f 2.8 sesuai untuk jurugambar profesional. Ia juga didatangkan dengan perisian Phocus 2.0 dari Hasselblad untuk kerja-kerja pengeditan. Hanya sebanyak 499 buah unit kamera digital bagi model edisi terhad ini dikeluarkan dan dijualkan kepada umum.

 

  1. Leica S Edition 100 (34 Ribu USD)

Kamera digital keluaran Leica ini dikeluarkan sempena ulang tahun ke 100 syarikat Leica di dalam industri ini. Ia menjadi kegilaan dan rebutan para peminat dan pengumpul kamera. Model kamera digital dengan sensor 37.5 MP 45X30 ini didatangkan sekali dengan dua jenis lensa S terkenal, Leica Summarit-S 70 mm f/2.5 ASPH. CS dan Leica Elmarit-S 30 mm f/2.8 ASPH. CS. Bahagian badan kamera dan kedua-dua lensa diukir dengan ukiran angka 100 bersempena ulang tahun syarikat ini. Model ini disertakan dengan sebuah beg bimbit yang diperbuat daripada Aluminium untuk memberi perlindungan kepada kamera dan lensa daripada sebarang jenis cuaca. Model kamera digital edisi terhad keluaran Leica ini hanya dikeluarkan sebanyak 500 buah unit sahaja untuk dijual kepada orang ramai.

 

  1. Panoscan MK-3 Panoramic (40 Ribu USD)

Kamera Panoscan ini mampu mengimbas imej penuh dalam sudut 360 darjah kurang daripada 8 saat. Kamera digital ini berkeupayaan untuk menangkap imej panorama atau rata dan serasi dengan kebanyakan pemain realiti maya (virtual reality player) seperti Flash VR, QuickTime VR dan pemain berasaskan Java. Model ini juga digunakan oleh pihak tentera bagi aktiviti pemetaan taktikal (tactical mapping) dan digunakan oleh pihak polis bahagian forensik untuk penggambaran di kawasan tempat kejadian sesuatu jenayah.

 

  1. Seitz 6×17 Digital Panoramic Camera (43 Ribu USD)

Seitz 6×17 Digital Panoramic Camera

Seitz merupakan sebuah syarikat pengeluar kamera dari Switzerland yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan berkemahiran di dalam bidang seni fotografi imej panorama. Kamera ciptaan Seitz ini berkeupayaan untuk menangkap sesuatu gambar pada resolusi 160 megapiksel dan mampu memindahkan data pada kelajuan 300 megabait sesaat. Kamera ini sesuai digunakan oleh para jurugambar yang gemar menangkap gambar kumpulan orang ramai, landskap dan seni bina.

 

  1. Hasselblad H4D 200 MS (45 Ribu USD)

Kamera Hasselblad H4D 200 MS dengan resolusi 50 megapiksel ini mempunyai motor (piezoelectric motor) yang mampu menangkap enam keping gambar dengan satu shot dan menggabungkan gambar-gambar ini untuk membentuk satu keping gambar beresolusi 200 megapiksel. Kamera ini memang sesuai untuk para jurugambar profesional yang gemar menangkap gambar objek kaku seperti tugu, patung, hasil seni, bangunan, barangan kemas dan sebagainya.

 

  1. Leica M9-P Edition Hermes (50 Ribu USD)

Leica M9-P Edition Hermes

Leica dengan kerjasama syarikat gergasi Perancis di dalam bidang rekaan fesyen, Hermes terlibat di dalam penghasilan kamera edisi ini. Kamera ini telah direka bentuk semula hasil kerjasama pereka dari syarikat kereta terkenal Volkswagen, Walter de’Silva. Badan kamera dan talinya dikemaskan dengan balutan dari kulit anak lembu. Kamera digital ini didatangkan dengan bekas simpanan kamera, beg kamera dari kulit anak lembu dan juga tiga jenis lensa : Leica Summicron-M 28 mm f/ 2 ASPH, Leica Noctilux-M 50 mm f/0.95 ASPH, dan Leica APO-Summicron-M 90 mm f/ 2 ASPH. Dikhabarkan hanya sebanyak 100 buah unit sahaja dari model kamera ini dipasarkan untuk jualan.

 

  1. Canon Diamond Ixus (54 Ribu USD)

Canon Diamond Ixus

Kamera digital model Ixus ini dihasilkan oleh Canon sempena ulang tahun ke-10 kelahiran model Ixus. Model kamera digital edisi terhad ini dihiasi dengan 380 butiran berlian dan telah dilelong di eBay, sebuah pusat beli-belah atas talian terbesar. Hasil dari jualan kamera digital ini disalurkan kepada persatuan palang merah (Red Cross)

 

  1. Phase One 645DF with P65+ Sensor (55 Ribu USD)

Phase One 645DF with P65+ Sensor

Kamera digital ciptaan syarikat Phase One dari Denmark ini dengan resolusi 60.5 megapiksel dan dilengkapi dengan sensor belakang digital (digital back sensor) membolehkan jurugambar menangkap gambar dengan lebih jelas. Kamera digital ini dilengkapi dengan lensa Schneider Kreuznach (Schneider Kreuznach leaf shutter lenses). Schneider Kreuznach ini  memang sudah dikenali dan tidak asing lagi di dalam bidang industri optik.

 

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen