Senarai Anak Patung Teddy Bear Yang Termahal Di Dunia

Senarai Anak Patung Teddy Bear Yang Termahal Di Dunia

 

Patung beruang atau teddy bear memang tidak asing lagi untuk kanak-kanak dan juga kaum hawa di dunia ini. Dengan rupa bentuk yang comel, bulu yang halus dan gebu, memang membuatkan kita geram untuk peluk dan gomol patung teddy bear ini.

Harga teddy bear yang biasa tidaklah mahal, bermula dari puluhan hingga ke ratusan ringgit bergantung kepada saiz dan kualitinya. Namun untuk kali ini admin nak kongsikan dengan anda Senarai Patung Teddy Bear Yang Termahal Di Dunia yang luar biasa harganya dan mampu dimiliki oleh orang kaya sahaja. Selamat membaca 

 

  1. Steiff-Karl Lagerfeld Teddy Bear (2080 USD)

Steiff-Karl Lagerfeld Teddy Bear

Beberapa tahun yang lepas, seorang pereka fesyen terkenal dari Jerman, Karl Lagerfeld telah bergabung dengan pengeluar anak patung tersohor Steiff bagi menghasilkan anak patung beruang istimewa ini. Hanya 2500 buah sahaja anak patung beruang dari model ini dikeluarkan untuk pasaran.

Patung teddy bear ini dipakaikan sut hitam dan kaca mata gelap seperti yang digunakan oleh Karl. Kepala tali pinggang anak patung beruang ini pula ditulis huruf KL, sempena nama Karl Lagerfeld.

 

  1. Gund Snuffles Teddy Bear (10 Ribu USD)

Gund Snuffles Teddy Bear

Anak patung beruang yang montel ini adalah keluaran syarikat pembuat anak patung yang terkenal dari Amerika iaitu Gund. Anak patung ini diletakkan di dalam senarai ‘paling dicari’ di gerai jualan Gund semasa berlangsungnya acara pameran dagangan tahunan American International Toy Fair, New York pada tahun 2011.

Teddy bear yang comel ini dipakaikan kalung yang diperbuat daripada emas putih dan dihiasi dengan butiran berlian 10 Karat. Mata anak patung beruang ini pula adalah dari mutiara hitam Tahiti(Tahitian Pearls).

 

  1. Daniel Swarovski Teddy Bear (10,566 USD)

Daniel Swarovski Teddy Bear

Daniel Swarovski merupakan seorang tukang emas dan pemotong kaca dari negara Austria. Bapa beliau memiliki sebuah kilang kecil yang beroperasi menghasilkan barangan kemas dari kristal. Bermula dari sini, beliau mendapat ilham untuk menghasilkan anak patung beruang yang dihiasi dengan kristal berjenama Swarovski. Beliau menaja sebuah syarikat pembuat anak patung bagi menghasilkan teddy bear jenama beliau ini. Apa yang menariknya, anak patung beruang ini boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan dan ianya masih lagi dijual di beberapa cawangan syarikat Swarovski.

 

  1. Steiff Alfonzo (12,100 USD)

Steiff Alfonzo

Anak patung beruang keluaran Steiff pada tahun 1908 yang diberi nama Alfonzo ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Anak patung beruang ini dibuat untuk putera raja Rusia, George Mikhailovich (Grand Duke George Mikhailovich of Russia) sebagai pemberian beliau untuk puterinya, Xenia (Princess Xenia Georgievna of Russia).

Puteri Xenia membawa teddy bear ini ke England pada tahun 1914 untuk melawat istana Buckingham. Sejurus beliau berada di sana, tercetus perang dunia pertama dan menyebabkan beliau terkandas di England. Beliau bersama patung beruang ini tidak pulang semula ke Rusia sehinggalah kematiannya pada tahun 1965.

Anak patung beruang ini kemudiannya diwarisi oleh puteri beliau yang kemudiannya ditawarkan di pusat lelongan terkenal Christie’s pada tahun 1989. Anak patung beruang berwarna merah ini sekarang dimiliki oleh kedai Teddy Bears of Witney dan mereka meminta syarikat Steiff mengeluarkan edisi terhad replika anak patung beruang merah ini eksklusif untuk kedai Teddy Bears of Witney. Sebanyak 5 ribu buah replika Alfonzo dikeluarkan selepas itu dan menjadi rebutan para peminat dan pengumpul teddy bear. Sehingga ke hari ini, replika Alfonzo masih lagi dijual di laman sesawang Teddy Bears of Witney.

 

  1. Steiff Hot Water Bottle Teddy Bear (30 Ribu USD)

Steiff Hot Water Bottle Teddy Bear

Anak patung beruang ini dilelong di pusat lelongan Christie’s di London dengan sasaran harga 50 ribu USD namun hanya mampu mencapai harga lelongan sebanyak 30 ribu USD sahaja. Teddy bear koleksi Paul Greenwood yang dibuat pada tahun 1910 ini dibaluti dengan jaket berbulu perang dan tali untuk mengikat bukaan jaketnya.

 

  1. Steiff Happy Teddy Bear (55 Ribu USD)

Steiff Happy Teddy Bear

Teddy bear ini dibuat oleh syarikat Steiif pada tahun 1926. Pada tahun 1989, anak patung beruang ini dilelong di pusat lelongan Sotheby’s di London dan berjaya dimiliki oleh seorang Amerika bernama Paul Volpp. Beliau menghadiahkan anak patung beruang ini kepada isterinya, Rosemary sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 42. So sweet 

 

  1. Steiff Harlequin Teddy Bear (75,826 USD)

Steiff Harlequin Teddy Bear

Anak patung beruang pelbagai warna ini merupakan salah satu keluaran Steiff yang mahal harganya. Ia dibuat pada tahun 1925 dan merupakan salah satu di antara beberapa unit dari model ini yang masih ada sehingga sekarang. Warna anak patung beruang ini unik kerana separuh badannya berwarna merah dan separuh lagi berwarna kelabu. Tapak tangan dan kakinya pula berwarna kuning.

 

  1. Steiff Diamond Eyes Teddy Bear (84 Ribu USD)

Steiff Diamond Eyes Teddy Bear

Syarikat Steiff menghasilkan anak patung beruang ini bersempena dengan ulang tahun syarikat mereka yang ke 125. Hanya 125 buah anak patung beruang dari model ini dikeluarkan dan dijual dengan harga 84 ribu USD setiap satu. Mulut anak patung beruang ini dibuat daripada emas tulen. Bulunya pula dihasilkan menggunakan bebenang emas. Manakala matanya yang bersinar pula diperbuat menggunakan batu nilam dan berlian.

 

  1. Louis Vuitton Monogram Bear (182 Ribu USD)

Louis Vuitton Monogram Bear

Anak patung beruang ini merupakan hasil ciptaan syarikat rekaan fesyen yang terkenal dari Perancis, Louis Vuitton. Teddy bear mewah dari model ini merupakan satu-satunya model anak patung beruang yang direka, dibangunkan dan dikilangkan sepenuhnya oleh syarikat Louis Vuitton sepanjang tempoh lebih dari 150 tahun sejarah mereka di dalam bidang fesyen.

Anak patung beruang yang diberi nama DouDou dengan ketinggian lebih kurang sekaki lebih ini disematkan dengan logo syarikat Louis Vuitton, iaitu LV pada anggota badannya. Sebanyak 500 buah unit sahaja dari model anak patung beruang ini dihasilkan oleh Louis Vuitton. Salah satu daripada 500 buah anak patung beruang ini dilelong oleh syarikat lelongan Christie’s di Monaco, sebuah bandar orang kaya dengan harga 182 ribu USD.

 

  1. Steiff Louis Vuitton Teddy Bear (2.1 Juta USD)

Steiff Louis Vuitton Teddy Bear

Anak patung beruang yang mahal ini merupakan ciptaan eksklusif hasil kerjasama syarikat fesyen Louis Vuitton dan juga Steiff. Ia menduduki tempat pertama Senarai Anak Patung Teddy Bear Yang Termahal Di Dunia buat setakat ini.

Penghasilan anak patung beruang hasil kerjasama kedua-dua syarikat ini bermotifkan gaya, elegan, comel, dan mewah. Pada tahun 2000, anak patung beruang ini dilelong dalam satu acara lelongan amal di Monaco. Ia dibeli oleh seorang warga Korea bernama Jessie Kim dengan harga bernilai 2.1 juta USD. Pada masa sekarang, anak patung beruang mewah ini dipamerkan di sebuah muzium anak patung beruang bertempat di Jeju, Korea.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen