Senarai 10 Set Catur Yang Termahal Di Dunia

Senarai 10 Set Catur Yang Termahal Di Dunia

Permainan catur merupakan permainan strategi yang memerlukan dua orang peserta bersaing antara satu sama lain. Permainan ini dipercayai berasal dari timur negara India dan mula dimainkan pada tahun  280 – 550 Masihi. Peraturan permainan catur ini pula, telah mengalami banyak perubahan semenjak tahun 1200-1475 Masihi sebelum kekal sehingga sekarang.

Harga bagi sebuah set permainan catur biasa tidak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh semua orang. Namun, ada pula set permainan catur yang mahal harganya kerana penggunaan material mewah di dalam pembuatannya. Justeru pada kali ini, kami sediakan kepada anda Senarai 10 Set Catur Yang Termahal Di Dunia. Selamat membaca 🙂

 

  1. Medieval Venice Chess Set (30,545 USD)

Medieval Venice Chess Set

Syarikat Pianki memang terkenal di dalam pembuatan aksesori mewah. Set catur mewah ciptaan mereka ini didatangkan dengan buah catur yang diukir dengan teliti bagi melahirkan satu kelainan untuk pemiliknya. Papan permainan catur ini pula dibuat daripada tembaga tulen dan disaluti dengan emas 24 Karat dan juga perak.

 

  1. Renault F1 Team Collection Chess Set (42 Ribu USD)

Renault F1 Team Collection Chess Set

Material yang digunakan dalam pembuatan set catur ini adalah sama dengan pembuatan kereta lumba F1 pasukan Renault, iaitu keluli tahan karat, aluminium, dan juga titanium. Papan permainan catur ini diperbuat dari karbon yang mempunyai cengkaman, membolehkan pemain merasai seperti memandu di trak perlumbaan, bersaing dengan pihak lawan.

 

  1. Silver Jubilee Chess Set (77,880 USD)

Silver Jubilee Chess Set

Pada tahun 1970, pereka Geoffrey Parker mencipta sebuah set permainan catur sempena Jubli Perak ratu England, Queen Elizabeth menggunakan perak dan emas tulen. Set permainan catur ini hanya dibuat khas untuk ratu England dan tidak ternilai harganya. Bagi membolehkan orang awam memilikinya, maka pihak pengilang mengeluarkan edisi Sterling Silver berharga 77,880 USD seperti gambar di atas.

 

  1. Carolingians & Moors Chess Pieces (96,075 USD)

Carolingians & Moors Chess Pieces

Set catur mewah koleksi dari Pianki ini direka oleh pereka Piero Benzoni. Ukiran pada setiap buah catur seperti tekstur fabrik dan coraknya begitu teliti dan kemas. Set permainan catur ini diperbuat daripada tembaga tulen dan disaluti dengan emas 24 Karat serta perak. Set catur ini menggambarkan pertempuran pada zaman pertengahan di antara puak Eropah Carolingian dan Arab Moors.

 

  1. Carolingi XIV Chess Set (113,580 USD)

Carolingi XIV Chess Set

Set permainan catur ini ialah hasil ciptaan pereka Piero Benzoni dan merupakan salah satu set catur ciptaan beliau yang terkenal. Setiap buah catur yang berketinggian 7 inci dan lebih ini diperbuat dari emas tulen 24 Karat dan perak. Ukiran pada pakaian dan hiasannya dibuat dengan begitu teliti. Buah catur kuda pula diletakkan seorang penunggang di atasnya dan dilengkapi dengan senjata dan perisai.

Setiap ukiran pada buah catur yang sungguh teliti ini memberikan pengalaman bermain kepada penggunanya seakan-akan berada di medan pertempuran yang sebenar. Dan sememangnya pembuatan set catur ini adalah ilham dari pertempuran sebenar di antara empayar Turki Uthmaniyah dan Carolingian dari eropah pada kurun ke 9 Masihi.

 

  1. Baccarat Crystal Chess Set (287,684 USD)

Baccarat Crystal Chess Set

Syarikat pembuat barangan kristal terkenal, Baccarat menempah khas set catur ini dari syarikat Nendo sempena ulang tahun Baccarat yang ke 250. Buah-buah catur dari set ini dibuat daripada batu kristal berwarna biru dan jernih. Papan set catur ini pula diperbuat dari bongkah kaca anti calar dan membiaskan cahaya.

 

  1. Royal Diamond Chess Set (600 Ribu USD)

Royal Diamond Chess Set

Syarikat barangan mewah Charles Hollander mencipta set permainan catur yang diberi nama Royal Diamond Chess Set ini pada tahun 2004. Dikhabarkan bahawa seramai 30 orang terlibat di dalam proses pembuatan set catur ini yang mengambil masa selama 4500 jam untuk disiapkan. Keseluruhan buah catur dan papan permainan dari set ini diperbuat dari emas putih yang disaluti dengan butiran berlian putih dan hitam.

 

  1. J. Grahl Chess Set (700 Ribu USD)

J. Grahl Chess Set

Set permainan catur ini direka oleh J. Grahl untuk keluarga Cole pada tahun 1972. Buah-buah catur ini diperbuat dari emas 14 Karat dan juga perak. Ukiran pada setiap buah caturnya begitu teliti dan kemas dengan fesyen pakaian di zaman pertengahan Eropah. Sebiji bola yang dibuat daripada batu permata juga diletakkan pada tangan buah catur permaisuri.

 

  1. Art of War Chess Set (750 Ribu USD)

Art of War Chess Set

Set permainan catur yang diberi nama Art of War Chess Set ini direka oleh seorang pereka bernama Victor F. Scharstein dengan rekaan berunsurkan ketimuran(oriental). Buah-buah caturnya diperbuat dari emas tulen dengan ukiran yang sangat teliti dan disemat dengan batu-batu permata seperti berlian, nilam, delima, dan zamrud. Papan catur ini pula dibuat daripada kayu hitam (Ebony) dan permukaannya bertatahkan emas dan juga logam yang jarang ditemui(Rhodium). Pada bahagian sisi papan catur ini pula ditulis dengan perkataan dari bahasa cina. Kaki papan catur ini diukir menjadi bentuk kaki manusia yang dibuat dari emas tulen dengan kuku kaki yang diperbuat dari berlian. Manakala pada bahagian bertentangan pula, ukiran berbentuk kakinya dibuat daripada perak dengan kuku kaki dari batu permata delima.

 

  1. Jewel Royale Chess Set (9.8 Juta USD)

Jewel Royale Chess Set

Jewel Royale Chess Set merupakan set permainan catur yang termahal di dunia setakat ini. Set catur ini dibuat oleh syarikat dari Britain yang bernama Jewel Royale. Material yang digunakan bagi pembuatan buah caturnya ialah emas kuning, emas putih, berlian, delima, nilam, zamrud, dan juga butiran mutiara hitam dan putih. Pada bahagian tengah setiap buah catur(kecuali kuda) disemat dengan batu permata. Bahagian atas kepala setiap buah catur pula diletakkan dengan hiasan batu permata mengikut hierarki masing-masing.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen