Senarai 15 Buah Kapal Persiaran Yang Termahal Di Dunia

Senarai 15 Buah Kapal Persiaran Yang Termahal Di Dunia

Kami pernah siarkan artikel sebelum ini tentang kapal pelayaran (Senarai 10 Buah Kapal Layar Termahal di Dunia). Namun senarai itu merujuk kepada kapal layar yang dimiliki oleh individu tertentu. Justeru untuk kali ini pula, kami rencanakan untuk anda Senarai 15 Buah Kapal Persiaran Yang Termahal Di Dunia, yang mana ianya boleh dinaiki oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan. Jom tengok 

 

  1. Costa Diadema (620 Juta USD)

Costa Diadema
Sumber: Roman Hofer – flickr.com

Kapal yang bernama Costa Diadema ini merupakan salah satu kapal yang terbesar milik syarikat kapal dari Itali, iaitu Costa Crociere. Fincantieri, iaitu syarikat pembuat kapal dari Itali, mengambil masa selama 2 tahun untuk menyiapkan kapal ini, yang ditempah pada tahun 2012. Ia mampu memuatkan seramai 5 ribu orang penumpang dan juga lebih dari seribu orang petugas yang bersedia memberikan layanan kepada penumpangnya. Antara kelengkapan yang terdapat pada kapal ini ialah: bumbung besar yang boleh ditutup yang mana terdapat 3 buah kolam renang di bawahnya, dan juga 3 buah ruang makan besar yang menyediakan hidangan mewah dari Itali.

 

  1. Carnival Vista (780 Juta USD)

Carnival Vista
Sumber: cruisecritic.com

Kapal mewah bernama Carnival Vista ini adalah hak milik syarikat kapal Carnival Cruise Line. Ia juga dicipta oleh pembuat kapal dari Itali, Fincantieri pada tahun 2012-2015. Kapal ini baru memulakan pelayaran sulungnya pada bulan Mei yang lepas.

 

  1. Liberty of the Seas (800 Juta USD)

Liberty of the Seas
Sumber: royacaribbeanincentives.com

Kapal persiaran mewah ini dimiliki oleh syarikat Royal Caribbean Cruises Ltd. Syarikat kapal ini memang dikenali dengan servis perkhidmatannya yang sangat memuaskan. Kapal mewah milik mereka ini dibina pada tahun 2007 dengan kos sebanyak 800 juta USD. Seramai lebih dari seribu orang petugas disediakan di atas kapal ini, bagi melayan para penumpang yang boleh mencecah 4 ribu orang pada satu-satu masa. Di antara kemudahan yang terdapat dalam kapal ini ialah: kelab malam, panggung teater, dan juga beberapa buah restoran.

 

  1. Freedom of the Seas (800 juta USD)

Freedom of the Seas
Sumber: advancetravelfwa.com

Freedon of the Seas ini juga merupakan salah satu lagi kapal mewah yang dimiliki oleh syarikat Royal Caribbean Cruises Ltd. Ianya dibina pada tahun 2004 dan siap pada tahun 2006, dan didaftarkan di Nassau, Bahamas. Seperti kapal-kapal mewah milik Royal Caribbean yang lain, ia juga mempunyai beberapa kemudahan yang tersedia dan juga para petugas yang bersedia untuk melayani penumpangnya.

 

  1. Independence of the Seas (828 Juta USD)

Independence of the Seas
Sumber: Aztec06 – wikimedia.org

Syarikat Royal Caribbean mengupah syarikat pembuat kapal dari negara Finland iaitu Aker Finnyards Turku Shipyard, bagi membina kapal persiaran mewah ini pada tahun 2008. Kos membina kapal ini menelan belanja sebanyak 828 juta USD untuk disiapkan. Kapal persiaran mewah ini mampu memuatkan penumpang seramai 4500 orang. Para penumpang dihidangkan dengan pelbagai jenis hiburan yang tersedia di dalam kapal ini. Bila rasa panas pula, penumpang boleh mandi dan berendam di kolam mandi dan renang di zon air (H2O Zone). Bagi penumpang yang gemar membeli belah pula, pihak syarikat ini telah menyediakan sebuah ruang kompleks membeli belah yang besar, di mana terdapat pelbagai jenis kedai dan bar menanti kunjungan pembelinya.

 

  1. Norwegian Breakaway (480 Juta USD)

Norwegian Breakaway
Sumber: cruiseline.com

Kapal persiaran bernama Norwegian Breakaway kepunyaan syarikat Norwegian Cruise Line ini nampak menarik kerana bahagian badannya dihiasi dengan lukisan kartun yang berwarna-warni. Kapal persiaran ini dibina oleh syarikat Meyer Werft pada tahun 2013 dan mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan. Kapal ini memfokuskan layanannya untuk anak-anak para penumpang, sesuai dengan corak dan temanya. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan dan salah satunya ialah kolam renang yang direka khas untuk kanak-kanak.

 

  1. Disney Dream (900 Juta USD)

Disney Dream
Sumber: disneycruiselineblog.com

Kanak-kanak dan para remaja tentu teruja apabila dapat belayar dengan kapal persiaran ini. Kapal ini adalah milik kepada syarikat hiburan terkenal dunia, Walt Disney. Ia mengambil masa selama 4 tahun untuk disiapkan oleh pembuatnya, Meyer Werft. Kapal persiaran ini boleh menampung jumlah penumpang sebanyak 4 ribu orang dan juga mempunyai petugas seramai lebih dari seribu orang. Kapal ini dikatakan bersaiz 40 peratus lebih besar dari dua buah model terdahulu, iaitu Disney Magic dan Disney Wonder.

 

  1. Norwegian Escape (920 Juta USD)

 Norwegian Escape
Sumber: Arno Redenius – commons.wikimedia.org

Syarikat  Norwegian Cruise Line membelanjakan 1.4 Bilion USD dengan mengupah syarikat Meyer Werft, bagi membina dua buah kapal persiaran iaitu Norwegian Joy dan Norwegian Escape. Harga pembinaan kapal Norwegian Escape ini sahaja berjumlah sebanyak 920 juta USD. Kapal persiaran besar ini mampu memuatkan seramai 4 ribu orang penumpang dan lebih dari seribu orang petugas di dalamnya. Seperti kapal-kapal lain, Norwegian Escape ini juga mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan. Salah satu kemudahan yang tersedia ialah: sebuah restoran makanan laut ala Latin yang dimiliki oleh seorang tukang masak yang terkenal, Jose Garces.

 

  1. Quantum of the Seas (935 Juta USD)

Quantum of the Seas
Sumber: cruiseline.com

Kapal persiaran ini dibina oleh pembuat kapal Meyer Werft dan merupakan hak milik syarikat Royal Caribbean. Kapal ini dinamakan dengan kod nama Project Sunshine semasa proses pembinaannya pada tahun 2011. Ia memulakan pelayaran sulungnya tiga tahun kemudian. Kapal pelayaran ini didaftarkan di pelabuhan Nassau, Bahamas.

 

  1. Anthem of the Seas (940 Juta USD)

 Anthem of the Seas
Sumber: www.GlynLowe.com – flickr.com

Syarikat Royal Caribbean membayar sebanyak 940 juta USD kepada Meyer Werft bagi membina kapal persiaran yang bernama Anthem of the Seas ini. Kapal persiaran yang dibina pada tahun 2015 ini mempunyai ruang legar yang besar, geladak dan juga balkoni, membolehkan para penumpang menikmati pemandangan indah lautan. Di ruang legarnya yang besar, penumpang boleh menikmati pemandangan lautan maya melalui skrin TV 80 inci berdefinisi tinggi (HD).

 

  1. Disney Fantasy (950 Juta USD)

Disney Fantasy
Sumber: Stjanss and mriedel – commons.wikimedia.org

Kapal persiaran Disney Fantasy dari syarikat Walt Disney ini dibina pada tahun 2007 hingga 2012. Dengan harga 4 ribu USD seminggu, penumpang boleh memulakan pelayaran dari Florida dan belayar merentasi timur dan barat kepulauan Caribbean. Kapal persiaran mewah ini boleh menampung seramai 4 ribu orang penumpang berserta lebih dari 1500 orang petugasnya.

 

  1. Norwegian Epic (1.2 Bilion USD)

Norwegian Epic
Sumber: cruiseline.com

Sewaktu pertama kali ianya dibina pada tahun 2009, kapal ini dinobatkan sebagai kapal persiaran ketiga yang terbesar di dunia. Kapal ini merupakan kapal persiaran yang terbesar dan termahal dalam koleksi syarikat Norwegian Cruise Line. Ia juga setanding dengan kapal-kapal persiaran dari syarikat seperti Royal Caribbean dan Carnival Cruise Line. Kapal ini boleh memuatkan 4 ribu orang penumpang dan 1500 orang petugas. Di antara kemudahan yang disediakan pula termasuk taman akua, beberapa pusat hiburan, restoran-restoran bertaraf dunia, dan banyak lagi.

 

  1. Oasis of the Seas (1.3 Bilion USD)

Oasis of the Seas
Sumber: Baldwin040 – commons.wikimedia.org

Kapal persiaran ini siap dibina pada tahun 2009 dan sewaktu itu ia dinobatkan sebagai kapal persiaran yang terbesar di dunia. Sekarang, ia menduduki tempat kedua kapal persiaran terbesar di dunia, dipintas oleh “saudaranya” sendiri. Syarikat STX Europe Turku Shipyard dari Finland, mengambil masa selama 3 tahun bagi menyiapkan pembinaan kapal ini. Kapal ini ditempah pada tahun 2006 dan diberi kod nama Project Genesis, sewaktu di dalam proses pembinaannya. Banyak kemudahan yang disediakan termasuklah padang golf mini, taman tema, kasino, kelab malam. Kapal persiaran yang besar ini mampu menampung lebih dari 5 ribu orang penumpang dan 2 ribu orang petugasnya.

 

  1. Harmony of the Seas (1.35 Bilion USD)

Harmony of the Seas
Sumber: cruiseline.com

Syarikat Royal Caribbean membuat tempahan kapal ini dengan nilai 1.35 bilion USD pada syarikat pembuat kapal STX France SA, pada tahun 2012. 4 tahun kemudian, ia siap sepenuhnya dan memulakan pelayaran sulungnya beberapa bulan yang lepas. Hampir 7 ribu orang penumpang boleh dimuatkan di dalam kapal pelayaran ini dan seramai lebih dari 2 ribu orang petugas pula disediakan bagi memberi khidmat layanan kepada para penumpangnya. Kapal persiaran ini dinobatkan sebagai kapal persiaran terbesar di dunia pada masa sekarang.

 

  1. Allure of the Seas (1.43 Bilion USD)

Allure of the Seas
Sumber: cruiseline.com

Syarikat Royal Caribbean mendominasi separuh dari keseluruhan artikel kita pada kali ini. Di tangga pertama Senarai 15 Buah Kapal Persiaran Yang Termahal Di Dunia ini ialah Allure of the Seas, kapal persiaran mewah milik syarikat Royal Caribbean. Kapal persiaran yang dibina pada tahun 2007 hingga 2010 oleh syarikat STX Europe Turku Shipyard dari Finland ini, juga diberi nama kod Project Genesis sewaktu di dalam proses pembinaannya. Ia mampu memuatkan lebih dari 6 ribu orang penumpang dan juga 2 ribu orang petugas di dalam kapal.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen