Senarai 10 Buah Kapal Layar Termahal di Dunia

Senarai 10 Buah Kapal Layar Termahal di Dunia

Siapa yang tak pernah menaiki kapal? Kebanyakan orang dah biasa atau pernah menaiki dan berlayar dengan kapal. Hari ini kami nak kongsikan dengan anda senarai 10 buah kapal layar yang harganya memang mahal dan hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja. Seperti biasa, kami menulis senarai kapal ini secara rawak dan sememangnya terdapat banyak lagi kapal-kapal layar yang mahal harganya di luar sana.

Kita mulakan dengan turutan dari nombor 10. Jom baca 🙂

 

  1. The Rising Sun (200 Juta USD)

Kapal ini direka bentuk oleh Jon Bannenberg dan dibuat oleh pengeluar kapal dari Jerman, Lürssen. Ia dibuat untuk Larry Ellison, CEO kepada Oracle Corporation. Pada tahun 2010, kapal ini bertukar hak miliknya kepada David Geffen, seorang penerbit filem di Amerika. 5 tingkat kapal ini dilengkapi dengan 82 buah bilik. Antara kelengkapan lain yang terdapat di kapal ini ialah, bilik mandi jakuzi, gimnasium, spa dan sauna, panggung wayang peribadi dengan skrin plasma gergasi, dan gelanggang bola keranjang yang boleh digunakan sebagai helipad untuk pendaratan helikopter.

 

  1. Seven Seas (200 Juta USD)

Dibuat oleh Oceanco, pengeluar kapal dari Belanda dan dimiliki oleh Steven Spielberg, pengarah filem Hollywood terkenal. Terdapat satu helipad, kolam renang, pawagam, gimnasium, dan dek peribadi untuk pemilik kapal. Kapal ini boleh memuatkan 12 tetamu dan juga 26 anak kapal.

 

  1. Lady Moura (210 Juta USD)

Kapal layar mewah ini dimiliki oleh seorang ahli perniagaan dan billionaire Arab Saudi, Nasser Al-Rashid dan dibuat oleh syarikat Blohm+Voss. Perhiasan dan ukiran tulisan nama di kapal ini diperbuat daripada emas 24 Karat. Kapasitinya pula boleh memuatkan 30 orang tetamu dan 60 orang anak kapal. Ia menduduki tangga ke-9 kapal layar peribadi terbesar pada tahun pembuatannya,1990 dan jatuh ke tangga 28 pada tahun 2014. Kapal ini berupaya bergerak pada kelajuan 20 knot.

 

  1. Al Mirqab (250 Juta USD)

Arkitek untuk reka bentuk kapal ini ialah Tim Heywood. Reka bentuk dalamannya pula adalah hasil sentuhan Andrew Winch Designs dan pembuatan kapal oleh Peters Schiffbau Wewelsfleth dari Jerman. Kapal layar mewah ini dihasilkan untuk pemiliknya, bekas perdana menteri Qatar, Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani. Kapal ini mempunyai 10 sut bilik untuk tetamu. Setiap sut mempunyai bilik tidur yang dilengkapi dengan katil besar untuk 2 orang dan juga bilik air. Selain itu, kapal ini juga tersedia dengan kolam renang, pawagam, helipad, 2 bilik VIP untuk pemilik dan dek untuk berjemur. Ia mampu memuatkan 24 orang tetamu dan juga 55 orang anak kapal. Kapal ini boleh berlayar pada kelajuan 20.3 knot.

 

  1. Dilbar (263 Juta USD)

Alisher Usmanov, seorang ahli perniagaan dan billionaire dari Russia adalah pemilik kepada kapal layar mewah ini. Nama kapal ini dipilih sempena mengingati nama mendiang ibunya. Reka bentuknya adalah hasil sentuhan Tim Heywood dan ia dibuat oleh pengeluar kapal dari Jerman, Lürssen. Sebanyak 47 orang anak kapal bertugas mengendali kapal ini dan ia dapat menampung 20 orang tetamu. Kapal ini mempunyai ukuran 360 kaki panjang dan 50 kaki tinggi. Ia mampu mencapai kelajuan 21 knot.

 

  1. Al Said (300 Juta USD)

Semasa pelancarannya pada tahun 2007, ia dikatakan kapal layar kedua terbesar di dunia. Sekarang ia menduduki tempat keempat. Kapal ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 2008 oleh pengeluar kapal dari Jerman, Lürssen. Kapal ini dinamakan sempena nama pemiliknya Qaboos bin Said Al Said, Sultan negara Oman. Kapal layar yang besar ini boleh menampung seramai 70 orang tetamu dan ini belum termasuk dengan 154 orang anak kapalnya. Kapal ini boleh bergerak pada kelajuan 22 knot. Terdapat ruang untuk pendaratan helikopter(helipad) di bahagian belakang kapal ini dan di khabarkan kapal ini mempunyai pentas untuk konsert.

 

  1. Superyacht A (323 Juta USD)

Kapal ini dinamakan sempena singkatan nama pemiliknya dan isteri, Andrey Melnichenko dan Aleksandra. Reka bentuk kapal ini adalah hasil rekaan Philippe Starck. Dibuat pada tahun 2008 oleh pengeluar kapal Jerman, Blohm & Voss dan siap pada tahun 2009. Kapal ini tersedia dengan helipad di bahagian hadapan untuk pendaratan helikopter. Terdapat dua bot kecil di bahagian sisi kapal bagi memudahkan pemiliknya bersiar dan berlabuh di persisiran pantai. Kapal ini juga dilengkapi dengan 3 buah kolam renang. Kapal ini dikendalikan oleh 42 orang anak kapal dan ia boleh memuatkan 14 orang tetamu.

 

  1. Dubai (350 Juta USD)

Pada mulanya ia dikenali dengan nama Platinum 525 dan ditempah oleh adinda Sultan Brunei, Putera Jefri Bolkiah pada tahun 1996. Projek pembinaan bagaimanapun terhenti sebelum disambung semula untuk pembeli baru iaitu Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai dan juga perdana menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE). Seperti kapal Superyacht A, kapal mewah ini juga dibuat oleh pengeluar kapal Jerman, Blohm & Voss. Kapal ini tersedia dengan 5 bilik untuk VIP dan 6 bilik untuk tetamu. Antara kemudahan lain yang tersedia ialah, helipad untuk pendaratan helikopter, kolam renang, tempat BBQ, pawagam, disko, gimnasium, dan garaj untuk kapal selam bagi kapal layar ini. Kapal ini boleh menampung seramai 115 orang termasuk anak kapal.

 

  1. Eclipse (800 Juta USD)

Kapal ini juga dikeluarkan oleh syarikat Blohm & Voss. Kapal ini dilengkapi dengan beberapa kemudahan di antaranya dua helipad untuk pendaratan helikopter, 24 kabin untuk tetamu, 2 buah kolam renang, beberapa tab panas, dan juga disko. Selain itu, ia juga dilengkapi 3 buah bot kecil dan sebuah kapal selam mini. Seramai 70 orang anak kapal terlibat dalam mengendalikan kapal ini. Apa yang menarik lagi tentang kapal ini ialah, ia dilengkapi dengan sistem perlindungan peribadi yang mampu mengesan kamera menerusi cahaya yang dikeluarkan oleh kamera dan menghalang kamera tersebut dari mengambil gambar peribadi pemilik kapal ini. Satu lagi sistem pertahanan yang hebat dimiliki oleh kapal ini ialah ia dilengkapi dengan sistem pertahanan peluru berpandu. Pada 9 Disember 2010, kapal ini telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembelinya iaitu seorang ahli perniagaan terkenal Rusia dan juga billionaire, Roman Abramovich. Rasanya kebanyakan orang tahu siapa Abramovich ini. Beliau merupakan pemilik kepada kelab bola sepak terkemuka Chelsea.

 

  1. History Supreme (4.5 Bilion USD)

Ia merupakan kapal yang termahal di dunia pada masa ini. Projek kapal ini digalas oleh seorang tukang emas terkenal,  Stuart Hughes. Beliau memang terkenal dengan beberapa ciptaan unik termasuklah rekaan khas iPhone yang berharga 15 Juta USD. Untuk kapal ini pula, dikhabarkan beliau telah menggunakan 100 ribu kilogram emas kuning dan putih untuk hiasan luaran serta sumber dari meteorit bagi hiasan dalaman. Dikatakan juga beliau menggunakan tulang dinosaur T-Rex untuk membuat tugu serta berlian 18.5 Karat untuk botol minuman keras. Projek kapal ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada pembelinya, seorang ahli perniagaan yang kaya dari Malaysia. Desas-desus mengatakan pembeli itu adalah Robert Kuok.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen