Rumah Paling Mahal Di Dalam Dunia Sedia Untuk Dijual

Rumah Paling Mahal Di Dalam Dunia Sedia Untuk Dijual

 

Rumah besar dan mewah di selatan negara Perancis ini dikatakan yang termahal harganya dan mencipta sejarah baru dalam dunia. Menurut syarikat kewangan dan media terkenal Bloomberg, harga rumah paling mahal di dalam dunia ini dibuka pada harga 410 Juta USD.

Ia dibina pada tahun 1830 di Saint-Jean-Cap-Ferrat, Perancis. Rumah mewah berkeluasan 18 ribu kaki persegi yang diberi nama Villa Les Cèdres ini dibina di atas tanah yang berkeluasan 35 ekar yang dilengkapi dengan hiasan 14 ribu spesies tumbuhan, kolam buatan manusia dengan hiasan bunga lili air, tugu tembaga Athena ( dewi kuno Yunani), dan juga pokok zaitun yang berusia 300 tahun.

Bahagian dinding dalam rumah ini pula dihiasi dengan potret-potret. Manakala perpustakaan di dalam rumah ini menurut Bloomberg, mempunyai sebanyak 3 ribu buah buku berkenaan pokok-pokok atau tumbuhan.

Kawasan kediaman yang luas ini dibeli oleh datuk bandar Villefranche-sur-Mer pada tahun 1850, di mana pada waktu itu ia dikelilingi oleh tanaman pokok zaitun. Kemudiannya pada tahun 1904, raja Belgium yang bernama Leopold II pula membeli rumah ini sebagai rumah percutian beliau. Selepas raja ini mati, rumah mewah ini bertukar milik kepada keluarga Marnier-Lapostolle iaitu keluarga yang terkenal dengan pembuatan arak (Grand Marnier Liquer). Mereka menanam tumbuhan-tumbuhan eksotik dan juga pokok-pokok buah oren di kawasan tanah yang luas ini untuk proses pembuatan arak mereka.

Pada tahun 2016, syarikat minuman Itali yang bernama Davide Campari-Milano SpA memperoleh hak ke atas syarikat induk Grand Marnier yang mana secara rasminya menjadi pemilik baru kepada rumah mewah ini. Syarikat Campari pernah dikatakan mahu menjual rumah ini pada harga 1 Bilion USD, namun disahkan oleh Bloomberg sebagai khabar angin sahaja.

 

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen