Senarai 10 Buah Lampu Kediaman Yang Mahal Di Dunia

Senarai 10 Buah Lampu Kediaman Yang Mahal Di Dunia

Lampu memainkan peranan penting membekalkan cahaya, mencerahkan kawasan persekitaran kita di waktu malam. Setiap rumah di dalam dunia ini rata-ratanya mempunyai lampu yang dibekalkan oleh kuasa elektrik. Tanpa cahaya lampu di waktu malam, menyukarkan pergerakan kita.

Harga setiap lampu bergantung kepada jenis, saiz dan juga kualitinya. Ianya berharga dari belasan ringgit hingga ke ribuan ringgit. Bagi golongan pertengahan, mereka akan memilih lampu yang murah. Bagi orang yang berkemampuan pula, mereka akan memilih lampu yang lebih mahal kerana ia mempunyai reka bentuk yang lebih menarik. Namun tahukah anda ada harga lampu kediaman yang harganya mencecah ratusan ribu ke jutaan ringgit? Kalau anda nak tahu, bacalah artikel Senarai 10 Buah Lampu Kediaman Yang Mahal Di Dunia ini. Lampu-lampu ini hanya mampu dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja. Jom baca 

 

  1. Talavera Ceramic Ceiling Lamp (300 Ribu USD)

Talavera Ceramic Ceiling Lamp
Kredit:1stdibs-Palissandre Antiques

Sekilas pandang nampak macam lampu siling yang biasa sahaja. Tapi apa yang membuatkan lampu siling ini mahal ialah kerana usianya. Lampu ini dicipta pada kurun ke 18 di tengah negara Sepanyol. Ukiran yang bermotifkan bunga pada lampu ini pula dilukis dan diwarnakan dengan warna pastel, oleh seorang artis yang berbakat.

 

  1. Sabino Art Deco Wall Sconces (350 Ribu USD)

Sabino Art Deco Wall Sconces
Kredit:1stdibs-NEWEL LLC

Lampu dinding berkaki ini dicipta oleh seorang pereka dari Perancis, Marius-Ernest Sabino. Ia begitu terkenal pada tahun 1930-an. Marius memenangi anugerah  Legion d’Honneur Perancis, melalui hasil reka cipta lampu ini.

 

  1. 18th Century Inspired Giltwood Torcheres (400 Ribu USD)

18th Century Inspired Giltwood Torcheres
Kredit:1stdibs-ADRIAN ALAN

Lampu antik dari kurun ke 19 ini merupakan replika dari lampu asal yang ditempah oleh seorang raja, Louis XV pada kurun ke 18. Louis XV menempah lampu ini untuk sebuah acara kostum topeng(masked ball) yang dihadiri beliau. Lampu replika yang berketinggian 10 kaki ini dibuat dengan ukiran kayu salutan emas dan tembaga.

 

  1. Genoese Crystal Chandeliers (670 Ribu USD)

Genoese Crystal Chandeliers
Kredit:Architectural Digest

Harganya pada asal hanya separuh dari harganya yang terkini, di mana anggarannya dibuat oleh pusat lelongan Sotheby’s. Harganya bagaimanapun meningkat ke harga 670 ribu USD, diambil kira dari segi usianya yang antik, juga material yang digunakan seperti kristal dan logam yang hasil kerjanya amat teliti dan rumit. Lampu antik yang dicipta pada kurun ke 18 oleh seorang pereka dari Genoa, Itali ini akhirnya dilelong oleh pusat lelongan Sotheby’s di Paris, Perancis.

 

  1. Daum Crystal Chandelier (680 Ribu USD)

Daum Crystal Chandelier
Kredit:houzz.com

Lampu gantung antik yang cantik ini dibuat di negara Perancis oleh syarikat Daum Studio. Daum Crystal Chandelier ini mengandungi unsur ketimuran. Ia bercirikan hiasan dan ukiran 448 bunga ros yang dibuat daripada kristal.

 

  1. Classical French 48 Candle Chandelier (740 Ribu USD)

Classical French 48 Candle Chandelier
Kredit:1stdibs-ADRIAN ALAN

Lampu gantung ini dicipta hasil inspirasi dari lampu gantung antik di istana Versailles dan rajanya, Louis XV. Ia diperbuat daripada potongan kaca yang kemas dan kerangkanya disaluti tembaga warna keemasan. Lampu dengan berat 275 kilogram ini juga dilengkapi dengan 48 batang lilin.

 

  1. Salviati Chandelier (1 Juta USD)

Salviati Chandelier
Kredit:lifehack.org

Ia dicipta dengan unsur seni Gotik(Gothic Art) yang berkembang di Perancis pada kurun ke 12 Masihi. Lampu ini dicipta pada kurun ke 19 oleh seorang pereka dari Itali bernama Giulio, dari keluarga Salviati yang mahir dalam bidang pembuatan barangan kaca. Lampu antik ini dibuat daripada kaca yang jarang ditemui, iaitu kaca Murano(Murano Glass).

 

  1. Tifanny’s Wisteria Table Lamp (1.5 Juta USD)

Tifanny’s Wisteria Table Lamp
Kredit:lifehack.org

Syarikat Tiffany Studios merupakan salah satu ikon pencipta hasil seni yang terkenal pada awal tahun 1900, di mana lampu buatan mereka bukan sahaja unik, tetapi juga sangat bernilai. Lampu meja yang diberi nama Wisteria Table Lamp ini dibuat oleh seorang pereka dari Tiffany Studios bernama Clara Driscoll pada tahun 1901. Corak hiasan pada lampu meja ini bermotifkan bunga dan juga pengaruh dari negara Jepun. Lampu meja antik ini dijual oleh pusat lelongan Sotheby’s dengan harga 1.5 Juta USD pada tahun 2010.

 

  1. Kuwaiti Mall Chandelier (1.8 Juta USD)

Kuwaiti Mall Chandelier
Kredit:lifehack.org

Lampu gantung ini merupakan salah satu lampu gantung yang termahal dari Timur Tengah. Ia pernah menghiasi kompleks 360 Mall di Kuwait sebelum jatuh terhempas berderai akibat perbuatan tidak bertanggungjawab remaja yang membaling kasut ke arahnya. Bengong punya budak 

 

  1. Pink Lotus Tiffany Lamp (2.8 Juta USD)

Pink Lotus Tiffany Lamp
Kredit:lifehack.org

Lampu yang menduduki tempat pertama Senarai 10 Buah Lampu Kediaman Yang Mahal Di Dunia ini dicipta oleh syarikat Tiffany Studios. Lampu yang dibuat pada tahun 1907 ini dihasilkan daripada 2 ribu kepingan kaca buatan tangan, bagi menghasilkan bentuk sekuntum bunga teratai. Ia dilelong oleh pusat lelongan Christie’s di New York pada 12 Disember 1997.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen