Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia

Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia

 

Irama rock merupakan salah satu genre muzik yang popular di dalam dunia. Irama rock bukanlah satu irama muzik yang baru dalam dunia muzik. Ia telah mula dikenali semenjak tahun 1940-an lagi dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur, merentasi sempadan benua.

Terdapat banyak kumpulan rock yang popular di dalam dunia seperti Led Zeppelin, Queen, Pink Floyd, The Rolling Stones, dan lain-lain. Kumpulan-kumpulan ini memang popular bukan sahaja di negara mereka malah di serata dunia dan tahu kah anda mereka ini kebanyakannya hidup mewah hasil dari kerjaya mereka di dalam bidang muzik ini? Pendapatan mereka memang lumayan dan setanding dengan ahli-ahli perniagaan yang berjaya.

Pada kali ini kami sediakan untuk anda Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia. Anda mungkin mengenali atau pernah mendengar nama sebahagian daripada mereka ini jika anda adalah seorang peminat lagu rock. Selamat membaca 🙂

 

  1. Brian May (Nilai Bersih: 175 Juta USD)

Brian May

Anda tentu pernah mendengar lagu “We will, we will rock you” dendangan kumpulan Queen kan. Brian May merupakan gitaris utama kumpulan ini. Gitaris yang sekarang berusia 68 tahun ini memang terkenal dengan petikan gitarnya yang diberi nama Red Special. Beliau diiktiraf oleh Rolling Stone sebagai seorang dari 100 gitaris terbaik sepanjang zaman.

Brian membuat keuntungan lebih dari 20 juta USD pada tahun 2013 menerusi jelajah konsert dan mendapat lebih daripada itu pada tahun 2014. Tambahan lagi, kumpulan Queen berjaya menjual album mereka sebanyak 300 juta unit di seluruh dunia sepanjang tempoh mereka terlibat di dalam dunia hiburan.

 

  1. Bob Dylan (Nilai Bersih: 180 Juta USD)

Bob Dylan

Bob Dylan merupakan seorang penyanyi dan penulis lirik yang terkenal dari Amerika. Penglibatan beliau di dalam bidang hiburan bukanlah sesuatu yang baru. Beliau sudah terlibat dalam industri hiburan selama lebih 5 dekad lamanya. Antara lagunya yang terkenal ialah Blowin’ in the Wind dan juga Like a Rolling Stone. Beliau masih lagi aktif sehingga kini dan berjaya menjual sebanyak 100 juta unit album sepanjang kariernya.

 

  1. Billy Joel (Nilai Bersih: 180 Juta USD)

Billy Joel

Penyanyi ini telah melibatkan diri dalam industri hiburan selama lebih kurang 40 tahun lamanya. Beliau mencipta nama dan populariti dengan kemunculan solo beliau yang pertama pada tahun 1973 dengan lagu berjudul Piano Man. Billy Joel diakui sebagai salah seorang artis yang paling laris dengan 6 anugerah Grammy Award. Beliau juga terkenal dengan beberapa lagu popular seperti Uptown Girl, We Didn’t Start the Fire dan juga Say Goodbye to Hollywood. Artis ini pernah memperoleh pendapatan individu sebanyak 25 juta USD ketika mengadakan konsert di Fenway Park dan Wrigley Field, Amerika.

 

  1. The Edge (Nilai Bersih: 200 Juta USD)

The Edge

David Howell Evans atau nama pentasnya The Edge, merupakan gitaris utama dan pemain keyboard kumpulan U2. Beliau menganggotai kumpulan U2 semenjak kemunculan pertama kumpulan itu pada tahun 1976. Kumpulan yang bergerak aktif selama 40 tahun ini terkenal dengan lagu-lagu popular mereka seperti Beautiful Day, Pride dan juga Sunday Bloody Sunday.

Pendapatan The Edge dan kumpulan U2 hasil dari persembahan mereka memang cukup lumayan. Album mereka terjual sekitar 170 juta unit di seluruh dunia. Kumpulan yang mendapat lebih kurang 20 anugerah Grammy Award ini jika digabungkan pendapatan bersih mereka mampu mencapai sekitar 1 bilion USD.

 

  1. Lars Ulrich (Nilai Bersih: 200 Juta USD)

Lars Ulrich

Siapa yang tak kenal dengan individu ini? Beliau merupakan pemain dram yang terkenal dari kumpulan metal tersohor, Metallica. Lars Ulrich dan kumpulan Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini mencatatkan jualan sebanyak 54 juta album sepanjang tempoh pembabitan mereka di dalam arena muzik.

Lars Ulrich secara individu sahaja memperoleh keuntungan jutaan Dolar sepanjang tempoh kariernya selama lebih dari 30 tahun. Beliau pernah memperoleh sebanyak 20 juta USD hasil dari penjualan album yang berjudul The Black Album. Pemain dram berusia 52 tahun ini dikatakan memiliki sebuah rumah mewah bernilai 16 juta USD di Tiburon, California.

 

  1. Don Henley (Nilai Bersih: 200 Juta USD)

Don Henley

Don Henley ialah pengasas kepada kumpulan rock terkenal, Eagles. Bintang rock yang berusia 69 tahun ini merupakan seorang pemain dram dan vokalis bersama kumpulan ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. Kumpulan Eagles terkenal dengan beberapa lagu popular mereka seperti Witchy Woman, Hotel California, Desperado, One of These Nights, , Life in the Fast Lane, Best of My Love, dan juga The Long Run.

Sepanjang pembabitannya bersama kumpulan Eagles dan secara solo, artis ini memperoleh keuntungan yang sangat lumayan. Beliau mendapat keuntungan pertama sebanyak 1 juta USD menerusi penjualan album sulung kumpulan itu pada tahun 1972 dan pada tahun berikutnya, beliau memperoleh sebanyak 2 juta USD menerusi penjualan album Desperado. Pada tahun 1976, Don Henley mengaut keuntungan sebanyak 56 juta USD hasil dari jualan meletup album Hotel California dan album kompilasi Their Greatest Hits.

Don Henley masih lagi aktif bersama kumpulan Eagles dan beliau masih lagi menjana keuntungan melalui album solo terbaru beliau yang berjudul Cass County.

 

  1. Ozzy Osbourne (Nilai Bersih: 220 Juta USD)

Ozzy Osbourne

Beliau digelar dengan gelaran Godfather of Heavy Metal dan juga Prince of Darkness. Ozzy Osbourne merupakan penyanyi bagi kumpulan rock terkenal Black Sabbath yang ditubuhkan pada tahun 1968 di Birmingham, England. Beliau meninggalkan kumpulan ini pada tahun 1979 dan menghasilkan album solo beliau yang berjudul Blizzard of Ozz pada tahun 1980 dan mencatat keuntungan sebanyak 6 juta USD hasil dari jualan album tersebut.

Ozzy dan keluarganya turut terlibat di dalam rancangan realiti TV yang dikenali dengan nama The Osbournes. Rancangan realiti TV yang disiarkan oleh MTV ini memberi hasil pendapatan yang baik buat Ozzy. Pada musim pertama rancangan ini, Ozzy dibayar sebanyak 20 ribu USD untuk setiap episod. Bayarannya meningkat menjadi 5 juta USD pada tahun berikutnya dan beliau dibayar sebanyak 20 juta USD untuk dua musim terakhir rancangan TV itu.

Penyanyi rock terkenal ini juga dikatakan mempunyai sebuah rumah mewah berharga 10 juta USD di Beverly Hills, Los Angeles.

 

  1. David Bowie (Nilai Bersih: 230 Juta USD)

David Bowie

David Robert Jones atau dikenali dengan nama David Bowie ini merupakan seorang penyanyi, penulis lirik, dan pelakon. Penyanyi kelahiran England ini memulakan kariernya pada tahun 1960-an dan terkenal dengan beberapa lagu popular beliau seperti Space Oddity, Rebel Rebel dan Let’s Dance.

Beliau berjaya mencatat jualan album sebanyak 140 juta unit di seluruh dunia sepanjang 50 tahun tempoh kariernya sebagai seorang artis. Beliau juga mempunyai kontrak bernilai 30 juta USD bersama EMI Records.

Penyanyi popular ini meninggal dunia pada 10 Januari 2016, iaitu dua hari selepas pelancaran album beliau yang berjudul Blackstar dan juga ulang tahun kelahiran beliau yang ke 69. Kematiannya disebabkan oleh penyakit kanser hati.

 

  1. Rod Stewart (Nilai Bersih: 235 Juta USD)

Rod Stewart

Roderick David Stewart atau nama glamornya Rod Stewart dilahirkan pada tahun 1945 di Highgate, London, England. Beliau memulakan kariernya sebagai penyanyi rock pada tahun 1960-an. Beliau berjaya menjual sebanyak 100 juta unit album sepanjang 5 dekad penglibatannya sebagai seorang penyanyi rock. Pada tahun 2010, Rod berjaya meraih sebanyak 2 juta USD di dalam 2 persembahan konsert dan mengutip 2 juta USD lagi sewaktu persembahan konsert di Belfast dan Newcastle.

 

  1. Eric Clapton (Nilai Bersih: 250 Juta USD)

Eric Clapton

Penyanyi, gitaris, dan penulis lirik lagu yang bernama Eric Clapton ini merupakan anggota kumpulan The Yardbirds. Beliau juga pernah menganggotai kumpulan Cream dan  Blind Faith. Nama penyanyi kelahiran England ini pernah dimasukkan di dalam senarai Rock and Roll Hall of Fame sebanyak tiga kali.

Beliau telah pun bergelar jutawan semenjak tahun 1969 lagi menerusi kejayaan di dalam penjualan album dan jelajah konsert. Penyanyi yang telah beraksi di atas pentas selama 50 tahun ini terkenal dengan beberapa lagu popular seperti Layla dan Crossroads. Eric Clapton juga pernah meraih pendapatan berjumlah 16 juta USD pada tahun 1992 dengan pelancaran album terbesar beliau, Unplugged. Di dalam album ini diselitkan dengan sebuah lagu bertajuk Tears in Heaven yang merupakan sebuah penghormatan buat mendiang anaknya yang bernama Conor. Conor yang berusia 4 tahun mati disebabkan terjatuh dari tingkat 53 sebuah pangsapuri di New York pada 20 Mac 1991.

 

  1. Phil Collins (Nilai Bersih: 260 Juta USD)

Phil Collins

Phil Collins yang dilahirkan pada 30 Januari 1951, merupakan pemain dram dan juga penyanyi utama kumpulan rock Genesis. Beliau menyertai kumpulan Genesis pada tahun 1970 dan keluar dari kumpulan ini pada tahun 1978 untuk bergerak secara solo. Hasil pendapatannya bersama kumpulan Genesis sudah lumayan namun kejayaan dan kekayaannya bermula apabila beliau memulakan karier solo beliau di atas pentas.

Album pertama Phil Collins yang berjudul Face Value meraih keuntungan lebih dari 10 juta USD hasil jualannya pada tahun 1980. Album beliau yang berjudul No Jacket Required yang dilancarkan pada tahun 1985 pula mendapat keuntungan yang lebih besar daripada itu.

Penyanyi yang berasal dari England dan popular dengan lagu seperti Land of Confusion, Mama dan Behind the Lines ini juga pernah memenangi 7 anugerah Grammy Awards. Selain itu, nama beliau juga tersenarai di dalam carta Billboard: Greatest of All Time Hot 100 Artists.

 

  1. Dave Grohl (Nilai Bersih: 260 Juta USD)

Dave Grohl

Rata-rata peminat muzik rock dan underground mengenali bintang rock yang bernama Dave Grohl ini. Beliau merupakan bekas pemain dram kumpulan terkenal Nirvana dan juga pengasas kepada kumpulan Foo Fighters. Bersama dengan dua kumpulan ini, ia memberikan kejayaan yang sangat besar buat Dave.

Sewaktu bersama kumpulan Nirvana, Dave mengumpul kekayaan bernilai 30 juta USD. Jumlah yang sangat besar ini diperoleh dari hasil penjualan album terbaik mereka seperti Nevermind dan In Utero serta dari siri televisyen MTV Unplugged. Dave meraih banyak lagi keuntungan bersama kumpulan terkini beliau, Foo Fighters. Selain daripada jelajah konsert bersama kumpulan Foo Fighters, Dave turut membina kejayaan dan popularitinya dengan bermain dram untuk bintang-bintang rock legenda seperti  David Bowie, Paul McCartney dan Stevie Nicks.

 

  1. Roger Waters (Nilai Bersih: 270 Juta USD)

Roger Waters

Roger Waters merupakan seorang pemain gitar bass, penyanyi, dan juga pengasas bersama kumpulan rock terkenal yang ditubuhkan pada tahun 1965, Pink Flyod. Roger juga merupakan penulis lirik lagu yang pernah meletup suatu ketika dulu iaitu Comfortably Numb dan juga Another Brick in the Wall, Part 2. Roger meninggalkan kumpulan Pink Floyd pada tahun 1985 bagi memulakan karier solonya.

Roger Waters mengaut keuntungan sebanyak 150 juta USD pada tahun 2006-2007 menerusi jelajah konsertnya. Pada tahun 2010 menerusi jelajah konsert The Wall Live Tour pula, Roger menerima bahagiannya sebanyak 100 juta USD hasil dari keuntungan penjualan tiket yang bernilai 459 juta USD.

 

  1. Sting (Nilai Bersih: 300 Juta USD)

Sting

Gordon Matthew Thomas atau nama pentasnya Sting merupakan seorang penyanyi, penulis lirik lagu, serta pemain alatan muzik yang berasal dari England. Sting memulakan kariernya sebagai penyanyi utama dan pemain gitar bass bersama kumpulan rock terkenal The Police pada tahun 1977. Beliau meninggalkan kumpulan The Police pada tahun 1983 bagi memulakan karier solonya.

Sting merupakan seorang bintang rock yang berjaya sepanjang tempoh 40 tahun kariernya. Salah satu kejayaan beliau ialah menggondol 16 anugerah Grammy Awards. Selain itu, beliau menikmati hasil royalti untuk lagu-lagunya berjumlah 2 ribu USD setiap hari(730 ribu USD setahun)!

Penyanyi ini memiliki sebuah rumah berharga 15 juta USD di London dan sebuah pangsapuri mewah berharga 26 juta USD terletak di Central Park, New York.

 

  1. Jon Bon Jovi (Nilai Bersih: 300 Juta USD)

Jon Bon Jovi

Bintang rock Jon Bon Jovi ini menubuhkan kumpulan rocknya pada tahun 1983 yang diberi nama Bon Jovi sempena namanya sendiri. Selain dari menyanyi, Bon Jovi juga terkenal sebagai penulis lirik, penerbit album dan juga pelakon. Beliau merakam 2 album solo dan 12 album bersama kumpulannya sepanjang penglibatan beliau di dalam industri hiburan dan berjaya menjual sebanyak 130 juta unit album di seluruh dunia.

Bon Jovi bersama kumpulannya masih bergiat aktif hingga kini dan pendapatan mereka hasil daripada persembahan konsert memang lumayan. Jelajah konsert yang diadakan pada tahun 2011 membolehkan mereka mengaut keuntungan sebanyak 142 juta USD. Pada tahun 2013 pula, konsert persembahan mereka yang disertakan dengan lagu top, Because We Can menghasilkan keuntungan sebanyak 200 juta USD.

Aset yang dimiliki oleh bintang rock ini ialah rumah agam yang berharga lebih kurang 20 juta USD. Selain itu, beliau juga memiliki sebuah kondominium berharga 40 juta USD dan merupakan bekas pemilik kepada kelab ragbi Amerika (American Football), Philadelphia Soul.

 

  1. Gene Simmons (Nilai Bersih: 300 Juta USD)

Gene Simmons

Terkenal dengan solekan muka yang unik di atas pentas, Chaim Witz atau nama pentasnya Gene Simmons dan digelar The Demon, merupakan salah seorang anggota kumpulan Kiss. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1973 ini terkenal dengan beberapa lagu hits seperti Black Diamond, Parasite, Rock and Roll All Nite dan juga Detroit Rock City.

Gene Simmons sudah pun bergelar jutawan dengan memiliki wang sebanyak 100 juta USD semasa lewat tahun 1970-an. Dengan konsert persembahan mereka serta hasil daripada royalti yang diperoleh, membolehkan nama beliau diletakkan dalam Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia.

 

  1. Dave Matthews (Nilai Bersih: 300 Juta USD)

Dave Matthews

David John Matthews atau dikenali dengan nama pentasnya Dave Matthews, merupakan seorang penyanyi, pemain alatan muzik, penulis lirik, dan pelakon Amerika kelahiran Afrika Selatan. Beliau menubuhkan kumpulan rock Dave Matthews Band pada tahun 1991 dan berperanan sebagai pemain gitar utama kumpulan itu. Antara kejayaan terbesar Dave ialah dengan memenangi 2 anugerah Grammy Awards. Selain itu, penjualan tiket konsert kumpulan ini sepanjang tahun 2000 hingga 2010 mencatat rekod jualan tertinggi tiket di Amerika Utara.

Pendapatan kumpulan ini agak memberangsangkan dengan jualan 50 juta unit album sepanjang tempoh mereka bergerak aktif bermula dari tahun 90-an. Selain itu, pelbagai barangan jualan yang dijual semasa jelajah konsert mereka juga membantu kumpulan ini menambah pendapatan mereka.

 

  1. Bruce Springsteen (Nilai Bersih: 300 Juta USD)

Bruce Springsteen

Penyanyi kelahiran Amerika, Bruce Springsteen atau nama gelarannya The Boss ini terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Born in the U.S.A., Born to Run, dan juga Dancing in the Dark. Melalui lagu-lagu popular ini, beliau berjaya merangkul sebanyak 20 anugerah Grammy Awards. Penyanyi, ahli muzik, dan penulis lirik ini juga terkenal dengan persembahan panjang konsert beliau yang selalunya diadakan melebihi 3 jam.

Kejayaan pertama beliau bermula dengan album meletup Born to Run pada tahun 1975. Pada tahun 1984 pula, album hits Born in the U.S.A. membolehkan beliau mengaut keuntungan sebanyak 18 juta USD dan memperoleh keuntungan tambahan sebanyak 80 juta USD melalui jelajah konsert yang diadakan.

Bruce terus membina kejayaan dan kekayaan beliau menerusi jelajah konsert Magic Tour pada tahun 2007 dengan kutipan penjualan tiket konsert bernilai 237 juta USD. Pada tahun 2012 pula menerusi jelajah konsert Wrecking Ball, kutipan hasil dari penjualan tiket mencecah 368 juta USD! Rekod penjualan album beliau di Amerika dianggarkan terjual sebanyak 64 juta unit dan lebih dari 120 juta unit berjaya dijual di seluruh dunia, membolehkan beliau digelar sebagai salah seorang artis yang paling laris sepanjang masa (world’s best-selling artists of all time).

Selain dari 20 anugerah Grammy Awards yang dirangkul beliau, Bruce juga memperoleh 2 anugerah Golden Globe Award dan 1 anugerah Academy Awards. Nama beliau juga tersenarai dalam Songwriters Hall of Fame dan Rock and Roll Hall of Fame pada tahun 1999.

 

  1. Keith Richards (Nilai Bersih: 340 Juta USD)

Keith Richards

Keith Richards yang dilahirkan pada tahun 1943 di Dartford, Kent, England merupakan gitaris utama kumpulan rock legenda, The Rolling Stones. Kumpulan The Rolling Stones dari England ini terkenal dengan rentak irama rock and roll. Lagu-lagu hits mereka seperti Paint it Black, Satisfaction, Ruby Tuesday dan Gimme Shelter terkenal dengan gorengan gitar Richards.

Gitaris ini bukanlah seorang yang paling kaya di dalam kumpulan mereka. Terdapat seorang lagi dari kumpulan ini lebih kaya daripada Richards iaitu penyanyinya, Mick Jagger yang berada di tempat ke-lima dalam senarai artikel ini.

 

  1. Ringo Starr (Nilai Bersih: 350 Juta USD)

Ringo Starr

Siapa yang tak pernah mendengar nama kumpulan The Beatles? Tentu semua orang tahu bukan? Salah seorang anggota kumpulan legenda ini ialah Ringo Starr yang bertindak sebagai pemain dram dan juga penyanyi bersama kumpulan ini. Seperti Keith Richards di tangga ke tujuh dalam artikel ini, Ringo merupakan orang nombor dua terkaya dari kumpulan Beatles.

Ringo membina kekayaannya bersama kumpulan Beatles menerusi penjualan album mereka semenjak tahun 1970-an dan bergelar jutawan sebelum dia bergerak secara solo lagi. Selain itu, hasil keuntungan dari royalti mereka turut membantu menambah kekayaan artis legenda ini.

 

  1. Mick Jagger (Nilai Bersih: 360 Juta USD)

Mick Jagger

Mick Jagger merupakan orang yang terkaya di dalam kumpulan The Rolling Stones. Beliau merupakan penyanyi utama bagi kumpulan ini dan merupakan pengasas bersama kumpulan tersohor ini. Telah bersama dengan kumpulan The Rolling Stones selama 50 tahun, beliau diiktiraf sebagai salah seorang yang popular dan berpengaruh dalam sejarah rentak irama rock and roll.

Kejayaan dan kekayaan yang dikecapi oleh Mick Jagger adalah hasil dari penjualan album dan juga jelajah konsert bersama kumpulan legenda ini. Selain itu, beliau juga menambahkan pendapatan melalui pelancaran dan penjualan beberapa album solo beliau. Berusia 73 tahun, beliau masih lagi bergerak aktif bersama kumpulan The Rolling Stones melakukan jelajah konsert mereka.

 

  1. Jimmy Buffett (Nilai Bersih: 450 Juta USD)

Jimmy Buffett

James William Buffett atau nama popularnya Jimmy Buffett memulakannya kariernya pada lewat tahun 1960-an sebagai penyanyi di Nashville, Tennessee, Amerika dengan membawa rentak irama Country. Album pertama beliau, Down to Earth dilancarkan pada tahun 1970. Pada waktu itu, Jimmy juga sering dilihat melakukan pertunjukan jalanan atau “busking” untuk para pelancong di sekitar kawasan New Orleans. Penyanyi yang terkenal dengan beberapa lagu hits seperti Margaritaville, Come Monday dan Cheeseburger in Paradise ini juga mempunyai kelab peminatnya yang diberi nama Parrothead.

Penyanyi kepada kumpulan Coral Reefer Band dan juga pemilik kepada siaran Radio Margaritaville di bawah stesen Sirius XM ini memiliki beberapa aset yang menjana kekayaan buat beliau. Di antaranya ialah, rangkaian restoran Cheeseburger in Paradise dan rangkaian restoran Margaritaville.

 

  1. Elton John (Nilai Bersih: 475 Juta USD)

Elton John

Pemain piano, penyanyi, dan komposer yang bernama Elton John ini telah memulakan kariernya sebagai penghibur sejak tahun 1962. Beliau amat terkenal bukan sahaja di Britain dan Amerika, malah di seluruh dunia. Sepanjang 5 dekad lebih kariernya di dalam bidang seni, beliau berjaya menjual lebih dari 300 juta unit album dan menjadikan dia salah seorang artis terlaris dalam dunia. Lagu single beliau, Candle in the Wind pada tahun 1997 terjual sebanyak 33 juta salinan di seluruh dunia dan merupakan jualan single terbaik dalam sejarah carta single(singles charts) di United Kingdom dan Amerika.

Elton John memperoleh lebih dari 150 juta USD pada tahun 2011 dan 2012 hasil dari jualan album dan konsert. Pada tahun 2015 pula, jelajah konsert yang diadakan mendapat keuntungan sebanyak 53 juta USD. Selain daripada konsert serta penjualan album, kekayaan beliau dijana melalui hasil daripada royalti lagu-lagunya.

 

  1. Bono (Nilai Bersih: 700 Juta USD)

Bono

Paul David Hewson dilahirkan pada 10 May 1960 di Dublin, Ireland. Beliau yang terkenal dengan panggilan Bono merupakan penyanyi, ahli muzik, dan juga penulis lirik. Bono merupakan penyanyi utama kepada kumpulan rock U2, seangkatan dengan The Edge, yang berada di tangga ke 22 dalam Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia ini.

Kekayaan yang dimiliki oleh Bono bukan sahaja melalui sumber hiburan. Sebaliknya beliau juga terlibat di dalam bidang perniagaan. Beliau mempunyai pelaburan saham bersama laman media sosial yang terkenal, Facebook. Selain dari Facebook, Bono turut melibatkan dirinya di dalam beberapa projek perfileman, penerbitan, dan juga pelaburan.

 

  1. Paul McCartney (Nilai Bersih: 1.2 Bilion USD)

Paul McCartney

Pemain gitar bass kelahiran Liverpool, England ini merupakan salah seorang anggota kumpulan legenda rock yang terkenal, The Beatles. Kekayaan yang dimilikinya meletakkan beliau di tangga pertama Senarai Bintang Rock Yang Terkaya Dalam Dunia ini, mengatasi rakannya Ringo Starr di tangga ke-6 dan juga bintang-bintang rock yang lain.

Sepanjang tempoh beliau bersama kumpulan The Beatles dan karier solonya, Paul McCartney berjaya menjual hampir 200 juta unit album dan single.

Sudah hampir 60 tahun lamanya Paul yang berusia 74 tahun ini beraksi di atas pentas dan beliau masih lagi aktif mengadakan konsert di serata tempat. Dengan 30 pertunjukan pada tahun 2011, beliau berjaya mengaut keuntungan sebanyak 130 juta USD.

Sejurus selepas kematian penyanyi Michael Jackson, Paul mendapat kembali hak cipta ke atas lagu-lagu kumpulan Beatles yang sebelum itu hak ciptanya dibeli oleh Michael Jackson. Hasilnya, Paul menikmati keuntungan royalti dari lagu-lagu tersebut.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen