Senarai 10 Buah Gitar Yang Mahal Di Dunia

Senarai 10 Buah Gitar Yang Mahal Di Dunia

 

Gitar merupakan satu instrumen penting di dalam kebanyakan genre muzik. Menurut sesetengah pengkaji sejarah, gitar merupakan satu instrumen purba yang mana telah pun mula dimainkan sejak 4 ribu tahun yang lalu.

Beberapa nama yang hebat seperti Jimi Hendrix, Santana, Eric Clapton, Slash, dan banyak lagi, terkenal melalui petikan gitar mereka. Petikan gitar mereka yang mengasyikkan sentiasa mendapat tempat di hati para peminat muzik.

Untuk kali ini, kami sediakan kepada anda Senarai 10 Buah Gitar Yang Mahal Di Dunia. Selamat membaca 🙂

 

  1. Gold Leaf Strat, Eric Clapton (455 Ribu USD)

Gold Leaf Strat, Eric Clapton

Gitar ini merupakan gitar istimewa khusus untuk gitaris terkenal, Eric Clapton. Ia dibuat oleh salah seorang pereka terhebat, Mark Kendrick dari syarikat instrumen muzik terkenal, Fender. Claptonmenempah khas gitar ini kerana mahukan sebuah gitar yang boleh ditayangkan di pameran muzium. Gitar beliau yang istimewa ini disaluti dengan kepingan nipis emas (Gold leaf).

Gitar ini pernah dimainkan pada dua siri jelajah konsert iaitu Legends pada tahun 1997 dan One More Car, One More Rider pada tahun 2001. Tidak lama selepas itu, gitar ini dijual di pusat lelongan terkenal, Christie’s.

 

  1. Gibson SG, George Harrison and John Lennon (570 Ribu USD)

Gibson SG, George Harrison and John Lennon

Model Gibson SG keluaran syarikat pembuat gitar Gibson ini pernah digunakan oleh dua orang anggota kumpulan muzik terkenal Beatles pada suatu masa dahulu. Gitaris utama kumpulan Beatles, George Harrison menggunakan gitar ini untuk album berjudul Revolver pada tahun 1966. Dua tahun berikutnya, pengasas bersama kumpulan ini iaitu John Lennon pula menggunakan gitar ini untuk album yang berjudul White. Ia ditempatkan di pusat lelongan Christie’s pada tahun 2004.

 

  1. Fender Strat, Stevie Ray Vaughan (623 500 USD)

Fender Strat, Stevie Ray Vaughan

Stevie Ray Vaughan atau singkatan namanya SRV ialah pemilik kepada gitar ini. Beliau merupakan antara artis pertama Amerika yang mencetuskan kebangkitan kembali irama Blues pada tahun 80an. Gitar ini diberi nama Lenny, sempena nama isterinya dan ia merupakan hadiah hari lahir pemberian isterinya.

Artis ini maut dalam satu nahas kemalangan helikopter pada tahun 1990. Gitar ini kemudiannya dilelong dan dijual kepada Guitar Center.

 

  1. 1939 CF Martin, Eric Clapton (791 500 USD)

1939 CF Martin, Eric Clapton

Clapton mengharungi detik kebangkitan kembali di dalam kariernya semasa mempersembahkan sebuah lagu balada akustik bertajuk “Tears in Heaven” pada tahun 1992 menggunakan gitar ini. Persembahan itu dipertontonkan melalui siaran MTV Unplugged. Harga asal gitar ini ialah 80 ribu USD. Namun ia berjaya dijual pada harga hampir 10 kali ganda tinggi dari harga asalnya.

 

  1. 1964 Gibson ES-335, Eric Clapton (847 500 USD)

1964 Gibson ES-335, Eric Clapton

Gitar ini merupakan sebuah lagi gitar kepunyaan Eric Clapton. Clapton menggunakan gitar ini sewaktu bergandingan dengan beberapa kumpulan muzik seperti Yardbirds, Cream, Blind Faith, dan John Mayall’s Bluesbreakers. Gitar ini dilelong di pusat lelongan Cristie’s pada tahun 2004 dan terjual pada harga 847 500 USD.

 

  1. Blackie Stratocaster, Eric Clapton (959 Ribu USD)

Blackie Stratocaster, Eric Clapton

Satu lagi gitar kepunyaan Clapton. Gitar ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. Dikhabarkan bahawa Clapton membeli tiga buah gitar dari kedai gitar di Texas, Amerika. Beliau kemudiannya menceraikan gitar-gitar ini dan mengambil bahagian yang terbaik dari ketiga-tiga gitar ini dan menggabungkan menjadi sebuah gitar yang diberi nama Blackie. Beliau menggunakan gitar ini selama 15 tahun di dalam persembahannya. Gambar gitar pernah ini digunakan pada kulit depan albumnya yang bertajuk Slowhand pada tahun 1977.

 

  1. The Goldcaster (1 Juta USD)

The Goldcaster

Gitar ini dibuat oleh Jhoseph King dari syarikat Goldcaster. Bahagian atas gitar yang berongga ini diperbuat daripada emas 18 Karat. Selain itu, bahagian-bahagian seperti nut, tone knob, volume knob, bridge, saddles, string tree, dan segala bahagian yang lain termasuk logonya juga diperbuat daripada emas tulen.

 

  1. Washburn, Bob Marley (1.2 Juta USD)

Washburn, Bob Marley

Rasanya ramai yang tahu siapa dia Bob Marley ini. Beliau merupakan salah satu nama besar dalam sejarah muzik dan menjadi fenomena dalam rentak irama Reggae. Lagu-lagu nyanyian beliau bersama kumpulannya, The Wailers masih popular dan sentiasa kedengaran di corong-corong radio.

Gitar kepunyaan Bob Marley ini merupakan gitar rekaan terawal Washburn Guitar. Ia adalah gitar yang direka khas hanya untuk penyanyi ini. Gitar yang berharga 1.2 juta USD ini diklasifikasikan oleh kerajaan Jamaica sebagai salah satu dari khazanah negara mereka.

 

  1. 1968 Fender Strat, Jimi Hendrix (2 Juta USD)

1968 Fender Strat, Jimi Hendrix

James Marshall Hendrix atau nama popularnya Jimi Hendrix merupakan salah seorang gitaris ternama dari Amerika. Beliau bersama kumpulannya, The Jimi Hendrix Experience pernah popular suatu masa dahulu di benua Eropah. Beliau menggunakan gitar ini semasa menjadi artis utama di dalam satu festival iaitu Woodstock Festival pada tahun 1969.

Gitaris tersohor ini mati pada tahun 1970 akibat pengambilan dadah. Gitar ini kemudiannya dibeli oleh Paul Allen, salah seorang dari pengasas bersama syarikat perisian komputer terkemuka, Microsoft.

 

  1. Fender Stratocaster Guitar, Reach Out To Asia (2.8 Juta USD)

Fender Stratocaster Guitar, Reach Out To Asia

Kejadian dahsyat tsunami pada tahun 2004 menyaksikan angka korban mencecah 230 ribu orang di 14 buah negara di antaranya Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand dan termasuk juga Malaysia. Kemusnahan besar yang terjadi akibat tsunami ini memerlukan dana yang banyak bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

Syarikat instrumen Fender, mengambil satu langkah bijak dengan mengadakan satu program lelongan gitar “Reach Out To Asia” bagi mengumpul dana untuk bantuan kemanusiaan mangsa tsunami. Gitar yang dilelong ini ditandatangani oleh ramai gitaris terkemuka dunia seperti Mick Jagger, Eric Clapton, Paul McCartney, Keith Richards, Brian May, David Gilmour, anggota kumpulan Def Leppard, Tony Iommi, Bryan Adams, Ronnie Wood, Liam Gallagher, Jeff Beck, Mark Knopfler, Jimmy Page, Angus Young, Malcolm Young, Sting, Ritchie Blackmore dan, Pete Townshend.

Kongsikan:

Apa Komen Anda?

Kirim komen